[VIDEO] ‘Lebih baik ibu mati’, kembali semata-mata nak tuntut harta arwah suami, anak tergamak jadi derhaka halau ibu kandung bertahun-tahun menghilang


  • Benua
  • Sabtu, 18 Nov 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki menghalau ibu kandungnya yang datang kembali selepas lama menghilang di Indonesia pada Khamis.

SESUNGGUHNYA syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Namun, berlainan pula kisahnya dengan seorang lelaki di Indonesia yang sanggup memarahi dan mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan terhadap ibunya sendiri.

Malah, lelaki itu juga dikatakan menghalau warga emas malang tersebut daripada rumahnya.

Memetik laporan media antarabangsa Sripoku.com, kejadian itu berlaku di salah sebuah daerah di Indonesia pada Khamis dan mula tular di laman Instagram @nenktaiment pada hari yang sama.

Ketika kejadian, wanita berkenaan datang ke rumah anak lelakinya itu untuk menuntut sebahagian daripada warisan peninggalan arwah suaminya.

Melalui video tular tersebut, wanita berkenaan dilihat menunggu di luar pagar rumah anaknya.

Difahamkan, lelaki berkenaan bertindak sedemikian kerana wanita itu hanya datang untuk menuntut harta semata-mata.

Pada masa sama, wanita itu juga pernah meninggalkan anak lelakinya itu selama bertahun-tahun dan menghilangkan diri.

Lebih kejam lagi, lelaki itu turut mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan dan memanggil pihak polis untuk menghalau ibunya sendiri.

"Kenapa ibu ke sini setelah sekian lama menghilang? Nak apa lagi?

"Lebih baik ibu mati," jeritnya dalam video tersebut.

Namun, wanita itu kedengaran cuba memujuk anaknya walaupun selepas dihalau.

"Kamu kenapa? Mama (ibu) datang untuk berbincang secara baik. Mama hanya ingin sebahagian daripada harta ayah," katanya sedih.

Namun begitu, tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian itu berlaku.

Video itu turut menjadi bualan warga maya ekoran daripada tindakan lelaki tersebut yang dianggap menderhaka terhadap ibunya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram