SEORANG aktor yang juga anak lelaki seorang pelakon terkenal Indonesia ditahan pihak polis selepas memukul kekasihnya ketika membuat siaran langsung di media sosial pada Khamis.
Ketua Polis Metro Jakarta Pusat Kombes, Susatyo Purnomo Condro berkata, pihaknya berjaya menahan suspek, Leon Dozan pada Jumaat.
Suspek yang merupakan anak kepada pelakon, Willy Dozan itu juga dilaporkan telah melakukan pengniayaan dan mencemarkan nama baik keluarganya ekoran kejadian itu.
Susatyo berkata, Leon akan didakwa dengan tuduhan menganiaya kekasihnya serta penghinaan terhadap polis dengan kata-kata kesat.
"Kami telah melakukan penangkapan terhadap suspek pada pukul 10 malam (waktu tempatan) di rumahnya yang terletak di Cirende, Lebak Bulus, Jakarta Selatan.
"Leon akan dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.
"Bermula Jumaat, kami telah menetapkan bahawa akan melakukan penahanan terhadap suspek," katanya ketika sidang media pada Jumaat.
Dalam pada itu, kejadian yang dirakam itu turut tersebar dan tular di media sosial sejak Khamis.
Dalam video itu, Leon dilihat merangkul leher teman wanitanya secara kasar dari belakang sambil berkata-kata yang berbaur ancaman ketika itu.
Bukan itu sahaja, suspek juga kedengaran mengeluarkan kata-kata kesat yang dilihat telah mencela pihak polis.
Pada masa sama, turut tular sebuah rakaman suara Leon yang menangis meminta tolong agar kekasihnya tidak membuat laporan polis selepas insiden itu.
"Jangan dilaporkan ke polis, kesian saya. Tolong," rayunya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram