[VIDEO] Polis Gombak buru 2 penjenayah ‘tag team’ pecah cermin kereta, samun wanita tengah jalan


  • 112
  • Sabtu, 18 Nov 2023

Tangkap layar video tular memaparkan perbuatan dua suspek terbabit yang menyamun kenderaan mangsa pada Selasa lalu dalam kejadian di Jalan Desa 5, Desa Jaya, Gombak, Selangor.

POLIS sedang memburu dua suspek kes samun pecah kereta yang berlaku berhampiran sebuah persimpangan di Jalan Desa 5, Desa Jaya, Gombak, Selangor pada Selasa lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa mengenai kejadian itu pada hari sama sekitar pukul 9.15 pagi

“Menurut mangsa, seorang wanita tempatan berusia 25 tahun, kejadian berlaku semasa dia dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum keretanya dihampiri dua lelaki menaiki motosikal.

“Pembonceng motosikal terbabit kemudian memecahkan cermin bahagian hadapan kereta wanita terbabit dan mengambil beg silang mangsa sebelum melarikan diri,” kata beliau dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum itu, video berdurasi 40 saat mengenai kejadian tersebut tular di media sosial sejak Sabtu memaparkan dua lelaki menaiki motosikal bertindak memecah cermin kereta sebuah kenderaan.

Insiden terbabit berlaku ketika kereta mangsa sedang berhenti di sebuah laluan yang mengalami kesesakan trafik.

Menurut Noor Ariffin, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun menghadapi kerugian melibatkan barangan berharga.

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun berkawan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nik Nor Aqeela Nik Abdullah di talian 019-9260203 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222 bagi membantu siasatan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram