[VIDEO] Berpakaian serba hitam, geng bertopeng rompak kedai emas pagi-pagi buta di Kuala Kangsar


  • Tular
  • Isnin, 06 Nov 2023

Tangkap layar video tular kejadian rompakan dipercayai berlaku di hadapan sebuah kedai emas dekat Lembah, Kuala Kangsar, Perak pada pagi Isnin.

TULAR satu kejadian rompakan barang kemas yang berlaku berdekatan sebuah kedai emas dekat Lembah, Kuala Kangsar, Perak pada pagi Isnin.

Video dirakam orang awam itu dilihat memaparkan kejadian berkenaan yang melibatkan sekumpulan perompak dengan kesemuanya berpakaian dan memakai topeng hitam serta menaiki dua buah kenderaan jenis kenderaan uliti sukan (SUV) dan pacuan empat roda.

Berdasarkan klip tersebut, kumpulan perompak itu yang terdiri lebih daripada lima individu didapati menyelongkar sebuah kereta yang berada di lokasi kejadian.

Mereka dilihat turut membawa senjata dengan beberapa bunyi das tembakan dipercayai turut didengar menerusi audio video berkenaan.

Menerusi video terbabit, kenderaan pacuan empat roda yang berwarna putih dinaiki kumpulan tersebut dilihat segera meninggalkan lokasi.

Status mengenai sebuah lagi kenderaan terlibat bagaimanapun tidak dapat dipastikan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya sedang menyiasat kejadian samun barang kemas tersebut yang melibatkan kerugian kira-kira RM1.4 juta.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 11.22 pagi Isnin.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa iaitu dua jurujual emas lelaki telah disamun beberapa lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang dan tukul.

"Cermin kereta mangsa telah dipecahkan bagi mendapatkan barang kemas yang bernilai lebih kurang RM1.4 juta," katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak dengan bersenjata atau rompak serta mencuba menyebabkan kematian atau cedera parah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Omar Bakhtiar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu agar menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Kangsar ASP Mohd Subkey Alias di talian 013-9285436 atau 05-7762222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram