[VIDEO] Samun kedai emas sambil pakai helmet, pemilik kedai pengsan diacukan pistol palsu


  • Benua
  • Rabu, 01 Nov 2023

Tangkap layar kejadian sebuah kedai emas di Penukal Abab Lematang Ilir (PALI), Indonesia disamun pada Selasa.

SEKUMPULAN perompak yang membawa senjata buatan sendiri melakukan kegiatan jenayah dengan menyerbu sebuah kedai emas di Penukal Abab Lematang Ilir (PALI), Sumatera Selatan, Indonesia.

Suspek yang terdiri daripada tiga orang melarikan emas bernilai 2 Miliar (bersamaan RM598.68) pada pukul 12 petang Selasa.

Ketua Perhubungan Awam Polis PALI, Penolong Pesuruhjaya Andriansyah mengesahkan bahawa kejadian rompakan itu memang berlaku, namun, suspek belum berjaya ditahan.

"Kalau ikutkan maklumat memang benar ada berlaku rompakan di kawasan itu. Tetapi kami masih menunggu laporan lengkap dari Unit Siasatan Jenayah," kata polis.

Menerusi rakaman litar tertutup (CCTV), tiga penjenayah yang dilihat lama memerhati kedai emas itu mulai menghampiri Asma dengan menggunakan helmet bagi mengelak identitinya dapat dikesan.

Asma berkata, penjenayah melakukan kecurian ketika tiada orang yang mengunjungi kedai emasnya dan persekitaran berada dalam keadaan lengang.

Malah, Asma pada ketika itu, menjaga secara berseorangan kerana suaminya pergi menunaikan solat Zohor.

Asma kemudiannya panik dan ketakutan sehingga pengsan ketika perompak mengacukan pistol ke arahnya.

Sejurus melihat pemilik kedai tidak sedarkan diri, perompak terbabit segera memasuki kedai emas dan mengambil berpuluh-puluh emas yang ada di situ.

Mengulas lanjut, suspek dikesan membawa motosikal Vega R berwarna merah dan sebuah motosikal Beat Street berwarna hitam sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

Kes ini masih berada dalam siasatan dan pelaku masih diburu pihak berkuasa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram