SEORANG penunggang motosikal maut apabila dipercayai terjatuh selepas terlanggar sebuah lubang sebelum dirempuh oleh sebuah treler dalam kemalangan di Meru, Klang, Selangor pada Sabtu.
Video mengenai insiden tersebut yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berdekatan lokasi dikongsikan pelakon dan aktivis masyarakat, Lando Zawawi di Facebooknya.
Berdasarkan klip berdurasi 14 saat itu, mangsa dilihat secara tiba-tiba terjatuh ketika melalui satu persimpangan lampu isyarat sebelum difahamkan dilanggar treler yang turut menggunakan lorong terbabit.
"Seorang lagi maut di laluan Klang. Dilanggar treler setelah jatuh langgar lubang," tulis Lando Zawawi.
Dalam pada itu, rata-rata warganet melahirkan simpati atas kejadian tersebut dan turut meluahkan kekesalan terhadap jalan di lokasi tersebut yang didakwa berada dalam keadaan teruk.
"Jalan dekat kat lampu isyarat Tama Dato Bandar ni memang teruk. Dengan lori yang lalu besar-besar. Motor kena menyelit tepi-tepi lori," ujar Muhammad Hazwan.
"Jalan dekat situ teruk, asyik tampal lepas itu korek je, banyak kali," kata Mohamad Nazri Kamim.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie mengesahkan mengenai kejadian tersebut yang berlaku di lampu isyarat Batu 5, Jalan Meru Klang.
"Siasatan awal mendapati penunggang motosikal yang merupakan lelaki berusia 37 tahun dari arah Jalan Meru menghala ke Klang telah memotong sebuah lori dan melanggar lubang.
"Mangsa telah tercampak ke atas jalan raya lalu digilis lori tersebut yang datang dari arah yang sama," katanya.
Mohd Khairi berkata, mangsa maut yang bekerja sebagai kerani mengalami kecederaan di kepala dan badan sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Ujarnya, kes kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram