[VIDEO] MPV bawa pelancong asing gagal elak, langgar 2 lori punca kesesakan di Jasin


  • 112
  • Jumaat, 17 Nov 2023

Tangkap layar kejadian kemalangan membabitkan sebuah kenderaan MPV dan dua buah lori di Jasin, Melaka pada Jumaat.

KEMALANGAN yang melibatkan dua lori dan satu kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 198.2 arah selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Jasin ke Ayer Keroh, Melaka menyebabkan kesesakan teruk kira-kira tujuh kilometer pada pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu membabitkan dua lori iaitu membawa mentega dan barangan sejuk beku selain MPV jenis Toyota Alphard yang dinaiki empat pelancong warga asing.

"Siasatan lanjut pihak polis mendapati kedua-dua lori terbabit dari arah utara sedang dalam perjalanan menghala ke Johor dan apabila tiba di lokasi, dipercayai kenderaan dipandu oleh lelaki berusia 30 dan 32 tahun itu telah bergesel.

"Ia menyebabkan kedua mereka hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

WhatsApp Image 2023-11-17 at 11.27.39 AM

Barangan seperti mentega dan barangan sejuk beku yang dibawa oleh lori terbabit dilihat jatuh ke bawah.

Mengulas lanjut, Ahmad Jamil berkata, manakala MPV yang dipandu lelaki berusia 34 tahun yang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu bertembung dengan kedua-dua lori terbabit.

Katanya kesemua mangsa dalam kemalangan telah dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram