SEORANG remaja lelaki bawah umur maut selepas motosikal ditunggang dipercayai terbabas dalam kejadian kemalangan dekat Jalan Felda Bukit Waha, Kota Tinggi, Johor pada Khamis.
Difahamkan, mangsa yang berusia 13 tahun itu berasal dari Felda Bukit Easter, Kota Tinggi, maut di lokasi kejadian.
Berdasarkan video dikongsikan di media sosial mengenai kemalangan terbabit, remaja lelaki tersebut yang memakai baju t-shirt putih dilihat terbaring di tepi jalan berdekatan besi pembahagi jalan.
Mangsa juga dilihat tidak memakai topi keledar.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora ketika dihubungi Majoriti mengesahkan mengenai kejadian berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya masih sedang melakukan siasatan lanjut berhubung punca sebenar kejadian.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi dan sudah dituntut oleh pihak keluarga pada petang Khamis.
Dalam pada itu, di ruangan komen, rata-rata warganet termasuk mereka yang mengenali mangsa melahirkan rasa simpati atas pemergiannya.
"Al-fatihah...Kawan anak saya...dia selalu datang rumah... Allahuakbar..." tulis Eicha Aishah.
"Kawan anak-anak kita. Dah macam anak sendiri. Tadi malam kakaknya maklumkan. Terus termenung...ialah pagi tadi baru jumpa..." ujar Rozi Atan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram