[VIDEO] Polis buru suspek terlibat kes gaduh bersenjata di JB


  • 112
  • Jumaat, 17 Nov 2023

Tangkap layar video memaparkan tindakan sekumpulan lelaki bergaduh menggunakan senjata tajam di hadapan sebuah premis dekat Johor Bahru Johor pada Rabu lepas.

POLIS sedang memburu sekumpulan lelaki dipercayai terbabit dalam pergaduhan menggunakan senjata tajam di hadapan sebuah premis dekat Johor Bahru, Johor pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika mengesahkan mengenai kejadian itu berkata, pihaknya masih tidak menerima sebarang laporan oleh mangsa atau pihak terlibat.

Ujarnya, siasatan awal mendapati insiden tersebut berlaku pada Rabu lepas kira-kira pukul 11.25 malam.

"Pihak polis masih giat mengesan semua yang terlibat bagi membantu siasatan.

"Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan.

Jika sabit kesalahan, beliau berkata, mereka terlibat boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Azlinda Mohd Khalid di talian 017-2765250.

Sebelum itu, tular satu video berdurasi enam satu minit 25 saat dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook, Pang Chong memaparkan mengenai insiden pergaduhan terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram