SEORANG lelaki berdepan detik cemas apabila terperangkap dan tersangkut dalam sebuah kon penghadang jalan di Sao Paulo, Brazil baru-baru ini.
Situasi itu disedari kakitangan Syarikat Kejuruteraan Trafik (CET) di Sao Paulo yang sedang mengutip kon di kawasan jalan berkenaan untuk menjalankan kerja pembaikan.
Namun, pergerakan mencurigakan dan suara individu dari dalam kon tersebut mengundang tanda tanya kakitangan itu yang kemudiannya menyedari kewujudan lelaki terbabit.
Terkejut dengan situasi itu, beberapa petugas syarikat berkenaan tampil membantu untuk mengeluarkan lelaki tersebut.
Selepas beberapa kali percubaan, kakitangan CET berjaya mengeluarkan mangsa tanpa sebarang bantuan pasukan bomba.
Sebaik dibebaskan, dia menjelaskan bahawa tujuannya masuk ke dalam kon itu adalah untuk berlindung daripada hujan lebat dan ribut yang melanda kawasan tersebut.
Namun, malang menimpanya apabila dia tersangkut di dalam penghadang jalan terbabit dan terpaksa menanti bantuan daripada mana-mana pihak.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian itu dan individu berkenaan juga difahamkan tidak memerlukan rawatan dari hospital. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram