Peruntukan 'media buy' sekadar RM100 juta, sejauh mana impak positif terhadap negara


  • Massa
  • Isnin, 13 Nov 2023

Anwar Ibrahim menjelaskan Kerajaan Madani hanya memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk perbelanjaan promosi dan pengiklanan bagi 2024.

PENDEDAHAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan peruntukan yang dibelanjakan bagi tujuan promosi ataupun 'media buy' kerajaan terdahulu mengundang pelbagai persepsi dan spekulasi dalam kalangan rakyat.

Jelas beliau, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM700 juta sejak 2020 hingga 2022 untuk iklan dan publisiti.

Berkongsi angka itu di Dewan Rakyat pada Selasa, beliau memaklumkan lebih RM500 juta dibelanjakan semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dan selebihnya dibelanjakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Namun, 2023 menyaksikan tiada sebarang perbelanjaan dibuat untuk tujuan itu apabila baki daripada peruntukan bekas Perdana Menteri kesembilan itu masih mampu untuk menampung keperluan pada tahun ini.

Katanya, untuk 2024, beliau telah mengarahkan Kementerian Kewangan tidak meluluskan lebih daripada RM100 juta bagi tujuan promosi dan iklan Kerajaan Madani.

anuu

Anwar Ibrahim ketika berucap di Dewan Rakyat. — Bernama

Meskipun ia satu usaha terpuji yang wajar disambut baik masyarakat, namun beberapa isu berbangkit mula menghiasi laman media dengan rata-ratanya risau akan impak negatif yang bakal dihadapi kerajaan dengan langkah diambil.

Penerangan tentang usaha dijalankan kerajaan dikhuatiri sukar untuk difahami rakyat dengan perkembangan teknologi masa kini semakin menunjukkan peningkatan dalam dunia digital.

Penipuan dan fitnah dakwaan yang terpesong juga antara isu yang semakin meruncing di zaman serba moden kini, dengan setiap perkara mudah dilaksanakan secara atas talian dan penyebaran maklumat palsu akan disalah erti sekiranya gagal ditangkis dalam tempoh masa yang pantas.

Sekiranya kerajaan lebih memfokuskan kepada usaha secara praktikal menerusi kempen bersua muka dan sebagainya, nescaya ia mampu membuka lebih peluang buat pihak pembangkang ataupun mana-mana entiti yang berniat menjatuhkan kerajaan sedia ada dengan penyebaran maklumat palsu yang mampu dilakukan tanpa batasan pada masa kini.

kl

Anwar Ibrahim ketika hadir pada program lawatan kerja bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Tonggang Ulu Kinta, Ipoh, Perak pada Ogos lalu. — Bernama

Selain itu, kebergantungan kepada capaian internet ataupun media sosial semata tidak memadai untuk dibandingkan dengan kredibiliti media arus perdana mahupun profesional yang jauh lebih efisien dan utuh dalam penyampaian maklumat.

Dalam pada itu, warganet di laman media tampil meluahkan pendapat masing-masing berhubung isu tersebut.

Usaha kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan bagi tujuan promosi pengiklanan tetap diterima baik oleh masyarakat namun, segelintir daripadanya mencadangkan pihak berkenaan supaya lebih bersifat terbuka dan aktif dalam pembabitan secara telus.

Salah seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Neczar menjelaskan bahawa, kerajaan tidak perlu membelanjakan ratusan juta ringgit untuk tujuan promosi, sebaliknya hasil kerja yang baik amat ditagih untuk rakyat menyanjungi usaha dijalankan.

"Tak perlu sampai nak berbelanja besar sampai berjuta-juta untuk iklan, kalau anda pemimpin yang bagus orang tinggal di pedalaman kampung dan orang asli pun akan kenal serta hargai jasa kerajaan, RM100 juta satu pembaziran yang agak melampau," katanya.

"RM700 juta dibelanjakan kerajaan sebelum ini, cuba bayangkan kalau ia disalurkan kepada golongan miskin dan anak-anak untuk pendidikan, rasanya lebih memadai dan menguntungkan semua pihak," ujar Jag_1212.

"Turun padang dan banyakkan usaha membantu secara fizikal lebih baik, peruntukan untuk promosi perlu ada tetapi keberkesanan kerja itu lebih baik dilakukan secara rohani, kena ingat juga penduduk di kawasan pedalaman masih kekurangan dari segi teknologi, tambah DraxDanish.

Justeru, selain daripada isu berbangkit dinyatakan masyarakat, keseimbangan kerajaan dalam menjalankan usaha ataupun kerja-kerja rakyat amatlah diutamakan bagi kedua-dua sektor digital mahupun secara fizikal.

Peruntukan sebayak RM100 juta yang bakal dibelanjakan oleh Kerajaan Madani pada tahun depan pastinya menjadi satu detik yang amat dinantikan oleh seluruh rakyat dan khususnya pemerhati politik yang akan menilai sejauh manakah keberkesanan langkah dibuat oleh Anwar Ibrahim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram