Fitnah Guan Eng, polis rakam keterangan Siti Mastura pada Isnin


  • 112
  • Ahad, 12 Nov 2023

Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad akan dipanggil polis untuk diambil keterangannya pada Isnin.

SUSULAN dakwaan fitnah dibuat terhadap Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad akan dipanggil polis untuk diambil keterangannya pada Isnin.

Menurut laporan media, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Shuhaily Mohd Zain berkata, empat laporan polis telah diterima berhubung perkara itu.

"Setakat ini kita sudah menerima empat laporan polis berhubung isu ini dan siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

"Keterangan Siti Mastura akan diambil pada 13 November 2023," katanya.

Jelasnya, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Mastura pada suatu majlis di Kemaman, Terengganu baru-baru ini mendakwa pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng, adalah sepupu kepada ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Mastura turut mendakwa Kit Siang dan Guan Eng adalah sepupu kepada bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, manakala Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok merupakan sepupu Betty Chew, isteri Guan Eng.

Pada Sabtu, Guan Eng meminta peguamnya memulakan prosiding jenayah terhadap Mastura atas ucapan kebencian selepas tempoh 48 jam untuk memohon maaf tamat.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Mastura secara terang-terangan menggunakan hubungan kekeluargaan yang tidak pernah wujud bagi menimbulkan ketakutan terhadap DAP dan orang Cina yang dianggap bersifat perkauman dan ekstremis.

Pada Khamis, Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dan Ahli Parlimen Subang Jaya Michelle Ng mengiringi Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid untuk membuat laporan polis terhadap Mastura. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram