[VIDEO] Peragut lolos lepas cuba dihalang, dikejar orang awam di Kajang


  • Tular
  • Ahad, 12 Nov 2023

Tangkap layar insiden ragut membabitkan seorang penunggang lelaki yang melarikan diri selepas cuba dihalang orang awam di Kajang, Selangor.

SEORANG penunggang lelaki nyaris tertangkap selepas dia dipercayai baru meragut beg tangan wanita di sebuah kawasan berhampiran pasar raya Metro Point, Kajang, Selangor pada Sabtu.

Kegiatan tersebut disedari beberapa orang awam di situ selepas individu terbabit terbabas akibat pergelutan dengan wanita berkenaan.

Pantas bangkit dan melarikan diri, seorang lelaki tampil berani apabila cuba untuk menendang si pelaku yang memecut laju di laluan tersebut.

Seorang pemandu yang juga saksi kejadian kemudiannya terus mengejar peragut terbabit sambil membunyikan hon untuk meraih perhatian ramai.

Rakaman berdurasi 52 saat itu tular di laman media dan menerima lebih 10,000 jumlah tontonan setakat ini.

Meskipun cuba untuk dikejar, pelaku akhirnya meloloskan diri daripada ditangkap bersama beg tangan yang diragutnya.

Jumlah kerugian mangsa belum dapat dipastikan buat masa ini namun tiada kemalangan jiwa dialami oleh mana-mana pihak dalam kejadian tersebut.

Belum ada kenyataan polis berhubung insiden berkenaan setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram