[VIDEO] Cubaan menyelit gagal, pemandu tercampak keluar akibat kereta terbabas sebelum terbalik dekat Shah Alam


  • Tular
  • Isnin, 13 Nov 2023

Tangkap layar video memaparkan kereta dipandu mangsa terbabas sehingga melanggar benteng bukit di tepi lebuh raya terbabit sebelum berpusing dan melambung.

SEORANG pemandu tercampak keluar dari keretanya apabila kenderaannya terbabas dan terbalik beberapa kali dalam satu kemalangan di lebuh raya berdekatan Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Video mengenai detik cemas berkenaan tular selepas ia dirakam oleh kamera papan pemuka sebuah kenderaan lain.

Berdasarkan klip itu, kenderaan jenis Honda Civic berwarna dipandu mangsa pada awalnya dilihat cuba memotong dengan bergerak dari laluan tengah ke lorong paling kanan lebuh raya tersebut.

Bagaimanapun, pada masa sama, sebuah lagi kenderaan yang berada di laluan tengah didapati turut cuba masuk ke lorong kanan.

Akibat situasi itu, kereta dipandu mangsa dilihat cuba mengelak daripada melanggar sebelum terbabas sehingga ke tepi jalan dan melanggar benteng bukit di tepi lebuh raya terbabit.

Impak pelanggaran tersebut menyebabkannya kereta mangsa berpusing dan terbalik beberapa kali dengan pemandunya dilihat tercampak keluar.

Difahamkan, ketika kejadian, kenderaan terbabit turut dinaiki oleh mangsa bersama isteri dan anaknya.

Menerusi ruangan komen,tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dengan lelaki tersebut dipercayai hanya mengalami kecederaan ringan manakala isterinya pula masih lagi dirawat di hospital.

Dalam pada itu, rata-rata warganet mengkritik lelaki berkenaan yang disifatkan membawa kenderaan dengan agak laju dan berbahaya.

"Sudah laju dan menyelit macam tu, siapa nak sangka? Tiba-tiba sahaja ada. Nasib tak sapu kereta lain," ujar sir_nazir.

"Bawa pun nampak bahaya. Kita nak expect macam mana lagi," kata E P U L.

Setakat laporan ini ditulis, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram