[VIDEO] Motor langgar lampu merah, pemandu Kenari dan penunggang lain jadi mangsa


  • Tular
  • Jumaat, 10 Nov 2023

Tangkap layar video memaparkan sebuah motosikal merempuh Kenari selepas melanggar lampu isyarat merah di Ampang, Selangor pada Khamis.

TIGA buah kenderaan terlibat dalam satu kemalangan di persimpangan jalan berhampiran lampu isyarat yang terletak di Pangsapuri Seri Nilam, Ampang, Selangor pada Khamis.

Kemalangan itu melibatkan dua buah motosikal dan sebuah kereta.

Menerusi video tular di media sosial sejak Khamis itu, kejadian itu dipercayai berpunca apabila sebuah motosikal dilihat melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh kereta Kenari biru ketika itu.

Berdasarkan informasi yang dikongsikan dalam satu hantaran di Facebook Azlan Mahmud, impak daripada pelanggaran tersebut, Kenari terbabit hilang kawalan dan melanggar sebuah lagi motosikal yang berada di sebelahnya.

Video dashcam yang dikongsikan itu juga memaparkan kedua-dua penunggang dan pembonceng motosikal yang melanggar kereta tersebut terjatuh ke pembahagi jalan.

Melalui video sama, kereta terbabit dilihat mahu memasuki simpang jalan itu sebelum dirempuh di bahagian tepi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet berang dengan tindakan penunggang motosikal yang menjadi punca utama kemalangan itu berlaku.

"Langgar lampu merah nak cepat kononnya, paling cepat boleh dapat 10 minit kot dari orang lain. Sekarang dah lambat beberapa bulan begitu," komen Mohd 'rem' Ramdan.

"Lampu tengah merah lagi tu, selamba je jalan," tulis Ibnu Ghazali.

Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kemalangan itu.

Nasib kesemua mangsa yang terlibat dalam insiden itu juga tidak dapat dipastikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram