[VIDEO] Remaja tiada lesen punca pasangan tunang maut dibebaskan dengan jaminan polis P.Pinang


  • 112
  • Ahad, 12 Nov 2023

Keadaan kereta dipandu remaja tersebut yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang menuju arah Perai, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang awal pagi Sabtu. — Facebook/OrangAwam

REMAJA lelaki yang juga pemandu kereta dalam kemalangan membabitkan dua mangsa maut di Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang menuju arah Perai, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang awal pagi Sabtu dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, remaja yang masih bersekolah dan tiada lesen memandu itu dibebaskan selepas reman sehari terhadapnya tamat.

"Pihak polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan sehingga penunggang motosikal dan pemboncengnya meninggal dunia dalam kejadian tersebut.

"Kami juga mengeluarkan saman terhadap ibu remaja itu kerana cuai dengan membenarkan anaknya menggunakan kenderaannya tanpa lesen," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 2.30 pagi itu, seorang penunggang lelaki dan pemboncengnya seorang wanita, kedua-duanya berusia 20-an dan dipercayai pasangan tunang maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh kereta Toyota Lexus dipandu remaja terbabit yang hilang kawalan setelah melanggar sebuah lori.

Remaja itu cedera ringan manakala pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mengulas lanjut, Tan berkata, polis telah menghantar sampel darah pemuda itu untuk ujian alkohol dan dadah, selain mendapatkan rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram