[VIDEO] Lelaki kritikal dirempuh kereta ketika bantu tukar tayar di Lebuhraya Pasir Mas-Salor


  • Tular
  • Jumaat, 10 Nov 2023

Dua orang mangsa dipercayai berada dalam keadaan kritikal, manakala seorang lagi patah bahu.

SEORANG lelaki dipercayai berada dalam keadaan kritikal setelah dirempuh sebuah kenderaan ketika sedang menukar tayar di Lebuhraya Pasir Mas-Salor, Kelantan.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 9 pagi, Rabu, bagaimanapun video kemalangan tersebut mula ditularkan di media sosial sejak Khamis.

Menurut perkongsian warga maya, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada kecuaian seorang pemandu yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

Berdasarkan rakaman yang dimuat naik di laman Facebook Yaho Bravo, pemandu kereta jenis Toyota Vios berwarna hitam itu dilihat hilang kawalan lalu terbabas melanggar dua kenderaan lain.

Dua mangsa yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu berada dalam keadaan kritikal, manakala seorang lagi patah bahu.

Difahamkan, pihak polis sudah menahan pemandu lelaki berkenaan pada hari kejadian untuk siasatan lanjut.

Namun setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram