Lagi kes maut dibaham harimau, lelaki Myanmar diserang ketika menoreh getah di Gua Musang


  • 112
  • Ahad, 12 Nov 2023

Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas mengalami kecederaan parah akibat dibaham harimau ketika sedang menoreh getah di Kampung Meranto, Gua Musang, Kelantan. — Facebook

SEORANG lelaki warga Myanmar maut selepas mengalami kecederaan parah akibat dibaham harimau ketika sedang menoreh di Kampung Meranto, Gua Musang, Kelantan pada Sabtu.

Kejadian yang berlaku pada pukul 1.30 petang itu mengakibatkan mangsa yang berusia 22 tahun mengalami kecederaan luka dan berdarah di bahagian belakang leher.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, semasa kejadian, lelaki terbabit dikatakan sedang menoreh bersama isterinya di kebun berkenaan sebelum diserang oleh pak belang.

"Mangsa kemudian telah dibawa ke Hospital Gua Musang dan dipercayai meninggal dunia semasa sedang mendapatkan rawatan.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan parah pada bahagian kepala akibat serangan harimau," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, siasatan lanjut masih diteruskan.

Ujarnya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan meneruskan pemasangan kamera dan perangkap harimau dalam usaha mengesan serta menangkap haiwan berkenaan.

Untuk rekod, seorang mayat lelaki ditemui dalam keadaan mengerikan dipercayai dibaham harimau di kawasan kebun getah Kuala Wok, Pos Pasik, Gua Musang pada Jumaat.

Mangsa ditemukan oleh seorang lelaki warga tempatan yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kawasan terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram