[VIDEO] Aksi sekumpulan lelaki ubah suai kereta jadi 'mesin mercun' cetus bahaya di Selayang


  • Tular
  • Ahad, 12 Nov 2023

Tangkap layar kekecohan berlaku membabitkan sekumpulan lelaki yang sakan bermain mercun di Selayang, Selangor.

TINDAKAN sekumpulan lelaki yang bermain mercun dan menghalang laluan jalan raya di Selayang pada Sabtu cetus kebimbangan warganet.

Meskipun tembakan mercun itu dilepaskan ke atas, namun percikan api serta dentuman kuat yang dihasilkan nyata mengundang kekecohan dalam kalangan penduduk di kawasan terbabit.

Kereta yang digunakan dipercayai telah diubah suai oleh individu berkenaan apabila beberapa batang mercun dilekatkan pada keliling kenderaan tersebut di samping kelibat individu yang turut kelihatan membakar mercun dari dalam.

Melepaskan berdas-das tembakan sepanjang bergerak di laluan tersebut, situasi itu mendapat sorakan gemuruh daripada pihak lain yang turut terlibat sama dalam kegiatan tersebut.

Rakaman tular itu meraih lebih 100,000 jumlah tontonan di laman media dan hangat diperkatakan warganet.

"Sejak kerajaan dah beri kelonggaran bermain mercun, makin teruk jadinya rakyat kita main sesuka hati tak hirau keselamatan ramai," kata Nazeem Bakri.

"Kenapa perlu main mercun macam ini, bahaya kalau ada budak ataupun boleh meletup tanpa sengaja," ujar Anbalagan.

"Siap ubah suai kereta untuk main mercun, seeloknya jangan bakar di kawasan sempit ataupun tempat orang ramai, ini dikira bahaya," jelas Farhan Aqil.

"Polis tidur agaknya, sepatutnya kena buat pantauan bila ada yang main mercun macam ini, ubah suai kereta dah satu kesalahan lagi membahayakan orang ramai," tambah Mohd Darwisy.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung hal tersebut setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram