TINDAKAN Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melepaskan jawatannya sebagai Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkuat kuasa serta-merta membuktikan dirinya seorang yang berpegang teguh pada prinsip.
Pensyarah Kanan Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, pemimpin muda itu membuktikan beliau tegas dan konsisten dengan pendirian yang diperjuangkan selama ini.
"Syed Saddiq kita tahu sejak dari dulu lagi sering bercakap soal prinsip, ketelusan dan sebagainya.
"Contohnya, ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad jatuh, beliau tidak memilih untuk bersama dengan kerajaan baharu yang menggantikan Tun M.
"Malah, beliau masih lagi menghormati dan menyokong Dr Mahathir yang ketika itu baru sahaja menubuhkan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).
"Tatkala orang lain mudah berubah arah ke tempat lain, Syed Saddiq masih di situ (menyokong), maknanya dia tegas dengan prinsipnya," katanya kepada Majoriti.

Syed Saddiq tetap menghormati dan menyokong Dr Mahathir meskipun selepas kerajaan PH pimpinan Tun M jatuh pada 2020.
Mengulas lanjut, Mazlan turut mengakui, sejak awal pembabitan, Syed Saddiq dilihat cuba membawa satu perubahan baharu dalam gelanggang politik tanah air.
Ujarnya, dengan penubuhan Muda, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berhasrat menerapkan prinsip ketelusan dan melawan rasuah dalam perjuangannya.
"Setelah tertubuhnya Kerajaan Perpaduan, Syed Saddiq memang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Namun selepas timbul beberapa keputusan kes terutama yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA), Muda menarik diri sebagai penyokong kerajaan.
"Syed Saddiq juga ketika itu mendakwa Kerajaan Perpaduan mula mengambil langkah bertentangan prinsip kedaulatan undang-undang yang diperjuangkan mereka," katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Menteri Belia dan Sukan itu menjalani hukuman penjara tujuh tahun, dua kali sebatan dan denda RM10 juta selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Syed Saddiq berkhidmat sebagai Presiden pertama Muda sejak penubuhannya pada September 2020.
Susulan itu, Syed Saddiq mengumumkan jawatan Presiden Muda dikosongkan berkuat kuasa serta-merta.
Jawatan itu akan dipangku oleh Timbalan Presiden Muda, Amirah Aishah Abd Aziz.
Ujarnya, ia bagi membolehkan beliau membersihkan nama daripada sabitan hukuman oleh mahkamah yang dihadapi.
Tindakan itu nyata mendapat pujian beberapa pihak termasuk Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Datuk Zuraida Kamaruddin yang menyifatkan Ahli Parlimen Muar itu sebagai pemimpin muda berani kerana tidak pernah menggunakan jawatan dan hubungannya dengan Kerajaan Persekutuan untuk mempengaruhi prosiding mahkamah.
Katanya, situasi itu jelas berbeza berbanding pemimpin senior lain apabila berdepan dengan situasi sama yang tersabit kesalahan kes jenayah kolar putih.
“Sesetengah pemimpin sanggup menggunakan pelbagai helah untuk cuba melepaskan diri mereka dari menghadapi pertuduhan di mahkamah," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
