[VIDEO] Saya tak takut, berani kerana benar — Syed Saddiq


Syed Saddiq selepas didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman oleh hakim Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada Khamis.

TETAP teguh dengan pendirian, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masih akur dan menghormati keputusan hakim Mahkamah Tinggi selepas dia didapati bersalah terhadap empat tuduhan pecah amanah yang kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Namun, Syed Saddiq menegaskan bahawa beliau tidak kesal dengan keputusan yang diputuskan oleh mahkamah pada Khamis.

“Saya tak menyesal. Saya tak takut. Saya takkan berhenti bersuara. Berani kerana benar,” katanya menerusi hantaran di Twitternya (X) pada hari yang sama.

Dalam hantaran tersebut, turut disertakan video memaparkan beliau sedang memberi kenyataan tersebut sambil ditemani ibunya, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz.

Menjengah ke ruangan komen, warganet turut memberi pelbagai reaksi terhadap keputusan yang ditetapkan terhadap Syed Saddiq.

"Berani kerana benar? Nak buktikan diri tak salah pun tak boleh buat," @nmqlinrz.

"Semoga dipermudahkan," @theng820.

Pada Khamis, mahkamah memutuskan untuk menjatuhkan hukuman tersebut selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Syed Saddiq, 30, didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, Johor pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram