Duo Keluar Sekejap, KJ dan Shahril Hamdan boleh saingi Amira Aisya jadi Presiden Muda


  • Politik
  • Jumaat, 10 Nov 2023

Syed Saddiq pada Khamis mengumumkan akan mengosongkan jawatan Presiden Muda berkuat kuasa serta-merta.

MAHKAMAH Tinggi pada Khamis mendapati Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan bagi semua pertuduhan bersubahat dalam pecah amanah jenayah, penyelewengan dana dan pengubahan wang haram (AMLA).

Hukuman tersebut dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, Hakim Azhar Abdul Hamid pada Khamis yang mendapati Syed Saddiq bersalah atas semua pertuduhan yang dihadapinya.

Hakim Azhar menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta.

Jika gagal membayar denda, Syed Saddiq, 30, boleh dipenjara empat tahun.

Susulan keputusan tersebut, Syed Saddiq mengumumkan akan mengosongkan jawatan Presiden Muda berkuat kuasa serta-merta.

Ujarnya, ia bagi membolehkan beliau membersihkan nama daripada sabitan hukuman oleh mahkamah yang dihadapi.

Jadi, jawatan Presiden Muda akan dipangku Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya dengan keputusan itu telah dipersetujui secara kolektif oleh mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda.

Dengan Amira Aisya memangku jawatan Presiden Muda buat masa ini, timbul persoalan jika ada individu lain yang lebih layak menggalas tanggungjawab untuk mengemudi Muda selepas ini?

Ini kerana, Syed Saddiq telah berkhidmat sebagai Presiden pertama Muda sejak penubuhannya pada September 2020 sehinggalah ke hari ini.

Berikut Majoriti senaraikan beberapa pemimpin yang sesuai diangkat menjadi Presiden parti itu bagi menggantikan Syed Saddiq:

1) Khairy Jamaluddin Abu Bakar

PUTRAJAYA, 12 Okt -- Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berucap pada majlis pelancaran Modul Program Pengurusan Berat Badan dan Fit serta pelaksanaan di semua kementerian di Kementerian Kesihatan, hari ini.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Khairy Jamaluddin

Siapa yang tidak mengenali ahli politik berjiwa rakyat, Khairy Jamaluddin Abu Bakar?

Bekas Ahli Parlimen Rembau yang lebih dikenali sebagai KJ dilihat antara figura yang layak memikul tanggungjawab sebagai Presiden Muda.

Memandangkan beliau sekarang tidak berada dalam mana-mana parti, KJ dilihat sesuai menggantikan Syed Saddiq.

Apatah lagi, penglibatan dan perkhidmatan beliau dalam bidang politik tidak boleh dipertikai lagi.

Selain menjadi bekas ketua Pemuda Umno, pemimpin berusia 47 tahun itu pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Kesihatan dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Sepanjang tempoh itu, Khairy berkhidmat sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), yang mana beliau pada ketika itu adalah individu yang bertanggungjawab untuk membantu negara membendung penularan pandemik itu di Malaysia.

Selain itu, KJ juga merupakan bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dari Mac 2020 hingga Ogos 2021 sewaktu pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Untuk rekod, menantu kepada Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi itu dipecat daripada Umno pada 23 Januari 2023 atas sebab pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan Umno kerana kesalahan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menariknya, tidak seperti kebanyakan ahli politik lain yang akan beralih ke arah parti lain apabila keluar daripada parti tertentu, beliau sebaliknya cuba mengambil pendekatan yang agak berbeza.

KJ menjadi tumpuan ramai apabila langsung tidak mempedulikan hal politik negara dan memilih untuk menjadi penyampai radio HotFM menerusi segmen KJ jadi DJ.

2) Shahril Sufian Hamdan

Shahril Sufian Hamdan

Syed Saddiq (kanan) memuji sifat kepimpinan yang ditonjolkan oleh Shahril (kiri).

Bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan juga antara ahli politik yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan baik dan sesuai mengepalai Muda selepas Syed Saddiq.

Jika KJ dipecat, Shahril pula digantung keahliannya daripada parti keramat Melayu itu selama enam tahun.

Shahril turut terkenal dengan kelantangannya bersuara dan beliau sendiri pernah menegur kerajaan demi memperjuangkan nasib orang muda.

Jejaka berdarah kacukan Melayu sebelah ayah dan Cina sebelah ibu itu juga merupakan bekas Ahli Perwakilan Parlimen Belia Malaysia sekitar 2014 hingga 2016.

Mungkin ada yang masih ingat, Syed Saddiq sendiri pernah memuji sifat kepimpinan yang ditonjolkan oleh bekas Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno tersebut.

Menurut Syed Saddiq, negara memerlukan lebih ramai pemimpin muda seperti Shahril yang dilihat berupaya menggegarkan keadaan di Malaysia.

Malah, beliau turut mengakui bekas Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri itu merupakan seorang pendebat yang baik.

“Pertama kali saya bertemu dengan Shahril pada 2014/2015 ketika saya bercadang untuk menubuhkan Debat Awam Oxford Union versi Malaysia.

“Beliau sangat menyokong dan bersama-sama melontarkan idea kepada Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak dan Khairy Jamaluddin.

“Beberapa bulan kemudian, kami akhirnya berada dalam parti yang berbeza tetapi rasa hormat saya terhadapnya tidak pernah pudar,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Februari lalu.

Untuk makluman, graduan University of Manchester & London School of Economics itu pernah disenaraikan dalam Young Global Leaders (YGL) oleh World Economic Forum bagi tahun 2023.

Senarai tersebut turut merangkumi hampir 100 pemimpin politik, usahawan, penyelidik dan aktivis ternama dari seluruh dunia.

3) Amira Aisya

Puteri Wangsa assemblyman Amira Aisya Abd Aziz said that she would look into having a meeting with the developer as well as the state government to solve the issue. — THOMAS YONG/The Star

Amira Aisya

Mengikut hierarki JKEP, Amira Aisya Abd Aziz yang merupakan Timbalan Presiden parti itu adalah individu yang layak diangkat sebagai Presiden menggantikan Syed Saddiq.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa dianggap tulang belakang dan banyak menabur sumbangan kepada Muda.

Pemimpin berusia 28 tahun yang berkelulusan undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu juga aktif dalam pelbagai program kebajikan.

Anak kelahiran Kampung Melayu Majidee di Johor Bahru itu juga pernah terpilih untuk mewakili Malaysia ke International Visitors Leadership Program 2023.

Selain Shahril, Amira Aisya juga tersenarai dalam Young Global Leaders (YGL) pada tahun ini.

Amira Aisya dilihat sesuai menggalas tanggungjawab sebagai presiden atas kelantangannya bersuara tentang isu-isu tertentu termasuk perubahan iklim, yang menyaksikan beliau pernah diberi mandat menjadi anggota Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana di bawah Dewan Negeri Johor.

4) Mukhriz Mahathir

ALOR SETAR, 5 Dis -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menerima cenderahati daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya ketika melakukan kunjungan hormat di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mukhriz Mahathir

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga antara nama yang berpotensi untuk menjadi presiden Muda.

Pengalamannya selama hampir dua dekad dalam pentas politik tanah air dapat digunakan untuk membantu parti berkenaan meneruskan perjuangan mereka.

Ada segelintir pihak yang berpandangan Mukhriz boleh menggabungkan Pejuang dengan Muda untuk mendapatkan sinergi baharu.

Sama seperti yang pernah dilakukan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), salah satu daripada tiga parti komponen gabungan Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod, PKR ditubuhkan pada Februari 2003 hasil gabungan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), bagaimanapun PRM menarik semula sokongan mereka terhadap gabungan parti itu.

Anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu pernah menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia antara tahun 2009 dan 2013.

Jika melihat pada situasi sejak kebelakangan ini, kebanyakan parti mempunyai impak yang tersendiri.

Misalnya, gabungan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya menarik sokongan rakyat untuk menyatakan sokongan terhadap PN terutamanya dalam pilihan raya sebelum ini.

Justeru itu, tidak mustahil sekiranya gabungan kedua-dua parti berkenaan mampu memberi kelainan kepada corak politik negara pada ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram