Kedudukan Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen masih kekal — Speaker


  • Politik
  • Khamis, 09 Nov 2023

Syed Saddiq dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kekal sebagai ahli Dewan Rakyat sehingga keputusan rayuannya diketahui, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

"Beliau masih menanti dua lagi keputusan mahkamah (Mahkamah Rayuan) dan (Mahkamah Persekutuan), selagi belum diketahui, ia tidak akan menjejaskan kedudukannya di sini (Parlimen)," katanya dalam sidang media pada Khamis.

Terdahulu pada Khamis, Syed Saddiq dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan bagi semua pertuduhan bersubahat dalam pecah amanah jenayah (CBT), penyelewengan dana dan pengubahan wang haram.

Hukuman itu dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Azhar Abdul Hamid yang mendapati Syed Saddiq bersalah selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas penolong bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan RM1 juta dana Armada untuk melakukan CBT dengan menyalahgunakan dana itu.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyeleweng RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Dia juga menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram melalui transaksi RM50,000 setiap satu, dipercayai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, daripada akaun Maybank Islamic Bhd miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputeranya di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bharu, Johor pada 16 dan 19 Jun 2018. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram