Syed Saddiq kosongkan jawatan Presiden Muda, Amira Aisya jadi pemangku


  • Politik
  • Khamis, 09 Nov 2023

Syed Saddiq berkata beliau tidak akan terbabit dalam politik Muda sepanjang tempoh berdepan kes di mahkamah.

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada Khamis mengumumkan mengosongkan jawatan Presiden Muda berkuat kuasa serta-merta.

Syed Saddiq berkata, ia bagi membolehkan beliau membersihkan nama daripada sabitan hukuman oleh mahkamah yang dihadapi.

"Selepas berbincang, kami (pimpinan Muda) membuat keputusan bahawa saya akan mengosongkan jawatan sebagai Presiden Muda serta-merta sementara saya membersihkan nama melalui proses mahkamah.

"Jadi, jawatan Presiden akan dipangku Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya," katanya pada sidang media petang Khamis.

Menurutnya, keputusan itu telah dipersetujui secara kolektif oleh mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda.

Syed Saddiq turut memaklumkan tidak akan terbabit dalam politik Muda sepanjang tempoh berdepan kes di mahkamah.

"Saya tidak akan melibatkan diri atau dilibatkan lagi dalam mana-mana keputusan dalam Parti Muda dan yang berkaitan dengan masa depan MUDA, namun saya akan terus mendukung parti ini sebagai ahli,” katanya.

Pada Khamis, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Syed Saddiq, 30, bersalah dan dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Armada.

Sementara itu, Amira Aisya yang kini memangku jawatan presiden parti itu berkata Parti Muda menghormati keputusan mahkamah dan perjuangan Syed Saddiq dalam parti itu tetap diteruskan demi membawa landskap politik baharu. — The Star/ Junaid Ibrahim & Arfa Yunus

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram