POLIS menafikan dakwaan sebuah klip video tular mengaitkan insiden sebuah ambulans yang terbalik di Putrajaya malam Khamis dengan sebuah kenderaan dipandu oleh seorang lelaki mabuk.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz dalam satu berkata, meminta orang ramai agar tidak membuat andaian tentang kejadian berkenaan.
Katanya, hasil siasatan mendapati keputusan ujian air kencing terhadap pemandu kereta jenis Audi tersebut adalah negatif dan pemandu berkenaan dalam keadaan stabil, bebas dari pengaruh dadah serta alkohol.
Ujarnya, semakan dilakukan juga mendapati lelaki terbabit mempunyai lesen memandu yang sah sehingga 2029.
Mengulas lanjut, Asmadi berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 11.45 malam di persimpangan lampu isyarat Lebuh Bestari berdekatan Menara Usahawan ketika ambulans yang membawa seorang pesakit terbalik apabila dilanggar sebuah kereta dipandu warga asing.
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, ambulans berkenaan sedang melalui persimpangan lampu isyarat itu dengan membunyikan hon dan siren sebelum tiba-tiba dilanggar kereta dari arah bertentangan.
"Siasatan mendapati pemandu kereta itu panik dan tidak sempat brek sebelum melanggar ambulans tersebut ketika melalui persimpangan lampu isyarat itu di mana ketika itu lampu bertukar hijau," jelasnya.
Menurutnya, siasatan mendapati ambulans dinaiki tiga kakitangan Hospital Putrajaya itu dalam perjalanan ke hospital selepas mengambil seorang pesakit di Presint 18.
Ujar Asmadi, kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Persiaran Perdana menuju ke Masjid Putra manakala ambulans terbabit yang dinaiki tiga kakitangan hospital sedang bergerak dari arah Presint 18 menuju ke Hospital Putrajaya.
"Akibat rempuhan itu, ambulans berkenaan terbalik dan tiga mangsa termasuk dua penumpang ambulans dan seorang pesakit mengalami kecederaan manakala pemandu kereta dan penumpang tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Asmadi berkata, ketika kejadian permukaan jalan rata dan tidak licin dan kes itu masih dalam siasatan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau berkata, polis turut memohon rakaman sistem litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.
Majoriti pada Jumaat melaporkan mengenai insiden kemalangan tersebut yang turut tular di sosial media memaparkan sebuah ambulans terbalik selepas dilanggar oleh sebuah kenderaan.
Menerusi klip tersebut, pemandu tersebut dilihat keluar daripada kereta dalam keadaan cemas dan terkejut dengan insiden yang berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram