Lelaki tua menyamar pegawai polis, berhenti kereta tengah jalan sampai sesak di Bayan Lepas


  • 112
  • Sabtu, 21 Okt 2023

Seorang lelaki warga emas didakwa menyamar sebagai polis dan menghalang tugas anggota di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Sabtu. — Facebook/IPD Barat Dayaas

PERBUATAN seorang lelaki warga emas yang menyamar sebagai pegawai polis dan menghalang tugas anggota mengundang padah apabila dia ditahan di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Sabtu.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam terdapat seorang lelaki mengaku sebagai pegawai polis dan memberhentikan keretanya di tengah jalan hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Kejadian itu dipercayai berlaku selepas lelaki berusia 63 tahun tersebut telah memberhentikan kereta di tengah jalan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas dan orang awam cuba menasihati suspek tetapi tidak diendahkan dan mengaku sebagai polis sambil menunjukkan sekeping kad polis komuniti.

"Pihak polis terus ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat itu dan meminta lelaki itu menunjukkan kad pengenalan serta mengalihkan keretanya tetapi suspek enggan mengalihkan kenderaannya," menurut kenyataan itu.

Polis menahan lelaki terbabit dan merampas sekeping kad polis komuniti miliknya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 170 dan 186 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kes berasingan kenyataan itu memaklumkan polis menyita dua motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Daerah Barat Daya dari pukul 11 malam Jumaat hingga 3 pagi Sabtu.

Pihak polis turut mengeluarkan sebanyak 31 keping saman kerana pelbagai kesalahan lalu lintas antaranya tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, ubah suai motosikal keterlaluan dan tiada cermin sisi.

"Selain membendung samseng jalanan yang melibatkan mat rempit, operasi itu juga bertujuan memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan-peraturan lalu lintas sedia ada dan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan," menurut kenyataan itu.

Operasi itu memfokuskan lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan mat rempit melakukan aksi berbahaya dan mengesan pemandu mabuk, mencegah kejadian kes kecurian kenderaan, ragut, pecah rumah dan lain-lain jenayah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram