[VIDEO] Polis dirakam pukul sekumpulan remaja dalam operasi cegah samseng di Kalimantan


  • Benua
  • Rabu, 08 Nov 2023

Tangkap layar sekumpulan remaja lari bertempiaran selepas diserbu anggota polis dalam satu kejadian yang berlaku di Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia.

SEKUMPULAN remaja lelaki dirakam lari bertempiaran selepas dikejar anggota polis dalam satu serbuan dijalankan di Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia pada Jumaat lalu.

Individu berkenaan yang mendakwa diri mereka sebagai samseng ditahan selepas berpelakuan ganas dan bersenjata tajam ketika kejadian.

Cubaan suspek untuk meloloskan diri berjaya digagalkan anggota polis yang dilihat menunggang motosikal dalam serbuan tersebut.

Situasi bertukar serius apabila beberapa remaja terbabit dikasari dan dipukul oleh anggota yang gagal mengawal kemarahan dalam insiden berkenaan.

Rakaman terbabit hangat diperkatakan sejak Ahad dan meraih lebih 50,000 jumlah tontonan setakat ini.

Beberapa senjata tajam seperti sabit dan parang turut dirampas ketika kejadian dan polis mengesahkan bahawa ia merupakan kegiatan sekumpulan remaja yang mengaku dirinya sebagai samseng di kawasan berkenaan.

Namun, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Banjarmasin, Komisioner Thomas Alfian menegaskan bahawa kejadian itu tidak berlaku dalam bidang kuasa Polis Banjarmasin.

"Susulan insiden yang berlaku, kejadian itu bukan berlaku dalam wilayah kekuasaan Polis Banjarmasin, sebaliknya ia tercetus di Surabaya, Jawa Timur, Indonesia," katanya.

Belum ada laporan mengenai hukuman dan tindakan dikenakan terhadap remaja berkenaan dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu terbabit. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram