Isu tiada penghujung, ramai tertanya apa sudah jadi projek tebatan banjir di Kedah, Sabah dan ibu negara


  • Massa
  • Khamis, 09 Nov 2023

Bencana banjir masih gagal dibendung pihak berwajib dengan beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur khususnya kerap dinaiki air hingga ke paras lutut. — Gambar hiasan

BENCANA banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini telah menyebabkan beberapa kehancuran dan kerosakan khususnya bagi penduduk kediaman yang terpaksa berpindah ke Pusat Perlindungan Sementara (PPS) disediakan kerajaan.

Antara kawasan yang terkesan dengan situasi itu adalah Kuala Lumpur; Sintok, Kedah dan Menggatal, Sabah yang mula dinaiki air banjir sejak beberapa hari lalu.

Meskipun ia merupakan salah satu daripada bencana alam yang sukar dijangka, namun inisiatif serta langkah pencegahan diambil kerajaan masih belum membuahkan hasil dengan isu terbabit kian berulang saban tahun.

tebat

Projek tebatan banjir antara usaha dijalankan kerajaan bagi menangani bencana yang berlaku di beberapa kawasan terjejas. — Bernama

Ia secara tidak langsung mencetuskan persoalan dan spekulasi terhadap sejauh manakah usaha pihak berwajib dalam menangani isu itu daripada terus berulang.

Beberapa projek tebatan banjir dijalankan di kawasan sungai dan longkang sebelum ini kian pudar dan lesap daripada pengetahuan ramai yang sekali gus mengundang seribu satu persoalan berhubung isu terbabit.

Berikut merupakan tiga projek tebatan yang disifatkan belum berupaya menyelesaikan bencana banjir di Kedah, Kuala Lumpur dan Sabah:

Projek tebatan banjir Pendang dan Anak Bukit

Daerah Pendang dan Sintok, Kedah merupakan antara kawasan yang sering terjejas dengan bencana banjir dan telah menjadi kebiasaan bagi penduduk di situ untuk membuat persediaan rapi tatkala musim tengkujuh mula tiba.

Menurut laporan media, projek di kedua-dua kawasan berkenaan difahamkan masih belum siap sepenuhnya yang menjadi punca kediaman di situ sering dilanda banjir.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kedua-dua projek berkenaan merupakan kesinambungan daripada projek Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) namun masih gagal disiapkan sehingga kini.

Jelasnya, projek tebatan banjir tidak mampu untuk mengekang banjir sepenuhnya kerana ia turut dipengaruhi faktor lain antaranya pengaliran air, hujan lebat berterusan dan sistem saliran dan pengairan.

Justeru, semua agensi kerajaan yang terlibat dalam pengendalian banjir sentiasa siap siaga di beberapa lokasi terutama di daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Baling.

Tender semula enam projek tebatan banjir

Beberapa daerah di Kuala Lumpur khususnya sering terpalit dengan bencana banjir yang kini sudah menjadi satu kelaziman bagi masyarakat warga kota.

Meskipun memiliki sistem perparitan dan saliran air yang jauh lebih maju dari negeri lain, ia masih gagal untuk membendung daripada berlakunya bencana banjir dalam kalangan penduduk mahupun peniaga di pasar raya.

Justeru, kerajaan pada Februari lalu memberi jaminan proses tender semula melibatkan enam projek tebatan banjir di beberapa buah negeri tidak akan mengambil masa yang panjang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kawasan yang terlibat dengan projek tebatan banjir sudah dikenal pasti oleh kerajaan dan skop kerja juga sudah tersedia.

Antara projek yang terlibat adalah rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor, pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir, sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau dan Sungai Klang, Selangor dan pembangunan lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3, Kelantan.

Rancangan tebatan banjir Sabah

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Mansor Othman pada September 2021 memaklumkan bahawa kerajaan telah melaksanakan projek rancangan tebatan banjir di beberapa daerah Sabah yang terkesan dengan banjir.

Sungai Rampayan, Lembangan Sungai Menggatal, Kota Kinabalu dan Lembangan Sungai Telipok antara lokasi yang tersenarai dalam rancangan tebatan banjir yang menelan peruntukan lebih RM56 juta.

Namun, selang dua tahun berlalu, projek tersebut semakin dilupakan dengan beberapa kawasan yang disenarai masih berdepan bencana banjir baru-baru ini.

Pada Selasa, kawasan perumahan di Taman Wijaya, Menggatal dinaiki air banjir hingga ke paras lutut.

Ia sekali gus menyukarkan perjalanan pelajar yang terpaksa meredah banjir untuk ke sekolah di samping laluan jalan raya juga terpaksa ditutup kepada pemandu kenderaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram