[VIDEO] CCTV rakam along buat onar, dipercayai baling cat merah ketika tuntut hutang di Nilai


  • Tular
  • Khamis, 02 Nov 2023

Tangkap layar seorang lelaki dipercayai pengutip hutang bertindak membaling cat merah ke arah sebuah kediaman di Nilai, Negeri Sembilan.

DUA individu lelaki dipercayai pengutip hutang atau lazimnya dikenali sebagai 'along' dirakam melakukan perbuatan khianat terhadap sebuah kediaman dekat Nilai, Negeri Sembilan pada Isnin.

Dalam satu video berdurasi seminit tiga saat yang tular di laman media, memaparkan salah seorang daripadanya membaling cat merah pada sebuah rumah di lokasi kejadian.

Dipercayai berlaku pada lewat malam, situasi itu tidak disedari mana-mana pihak dengan si pelaku dilihat berulang kali membaling cat pada rumah tersebut.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan keadaan rumah terbabit yang dipenuhi cat merah akibat perbuatan individu berkenaan.

Seorang warganet menggesa agar kerajaan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana peminjam hutang selain melakukan tindakan penguatkuasaan kepada agensi peminjam haram.

"Kerajaan kena keluarkan akta untuk yang meminjam wang dengan along supaya yang pinjam pun akan takut, pemberi salah, penerima pun bersalah," kata seorang netizen menggunakan nama Dato Edwin Prabu Richard.

"Dia dah buat kerja dia, yang meminjam pun masa isi surat perjanjian bukan main kata boleh bayar, tapi lepas itu rasa tak mampu mula rasa teraniaya hingga mengadu dekat semua pihak, walhal salah sendiri," ujar lokoman136.

Belum ada sebarang kenyataan polis berkaitan isu terbabit setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram