Isu Palestin: Apa jadi kalau Malaysia tetap sertai APEC?


  • Massa
  • Selasa, 07 Nov 2023

Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung pada bulan ini akan diadakan di San Francisco, AS. — Reuters

SELEPAS hampir sebulan, konflik keganasan di Palestin dilihat masih tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda untuk reda.

Malah, setakat Isnin, jumlah angka kematian Palestin yang direkodkan di Gaza dan Tebing Barat kini dilaporkan mencecah 10,000.

Lebih menyedihkan, hampir separuh daripada nyawa yang terkorban iaitu 4,880 daripadanya merupakan kanak-kanak.

Bagaimanapun, di sebalik pelbagai desakan dibuat kerajaan dan masyarakat antarabangsa, rejim Zionis dilihat langsung tidak memberi tanda untuk menghentikan kekejaman yang dilakukan.

Keberanian tersebut tentunya berpunca daripada sokongan ditunjukkan Amerika Syarikat terhadap Israel yang bukan sahaja daripada segi moral, malah turut meliputi bantuan alatan ketenteraan.

Disebabkan itu, ramai pihak berpendapat kerajaan di seluruh dunia seharusnya mengambil pendirian yang lebih tegas dalam mendesak kuasa besar seperti AS untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu tersebut.

Ia termasuk dengan membuat keputusan bagi melakukan desakan diplomasi dengan memboikot AS di peringkat antarabangsa.

Antara sasaran terdekat yang menurut mereka boleh digerakkan adalah menerusi sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan berlangsung di San Francisco, AS, pada bulan ini.

Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Oktober lalu memaklumkan Malaysia sedang berhubung dengan negara Asia lain termasuk China bagi mengetahui pendirian mereka.

Katanya, ini kerana Malaysia akan membuat keputusan selaras dengan pendirian rakan dan negara Asia yang lain dalam isu tersebut.

Sementara itu, dalam kenyataan terbaharunya pada, Isnin, Anwar berkata, negara akan membuat keputusan mengenai perkara tersebut tempoh sebelum Rabu.

Beliau turut memaklumkan, setakat ini, kebanyakan negara menyatakan komitmen untuk hadir dalam persidangan tersebut.

Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, mengikut sejarah, Malaysia sememangnya dilihat sebagai sebuah negara yang jarang mengambil pendekatan diplomasi yang unilateral.

Ini kerana menurutnya, dalam keputusan sebelum ini, Malaysia didapati konsisten untuk melakukan pendirian diplomasi yang kolektif bersama negara lain tanpa menunjukkan permusuhan terhadap kuasa besar.

Sehubungan itu, beliau juga Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, Malaysia dijangka akan tetap menyertai himpunan tersebut.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan ia tidak bermakna Malaysia tidak mampu membuat tindakan menekan negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dalam isu Palestin.

Malah, Azizuddin berpendapat APEC itu sendiri menyediakan platform buat Malaysia dan negara lain untuk bukan sahaja berbincang, malah membuat desakan bagi gencatan senjata di wilayah bergolak itu.

"Jadi platform ini sebenarnya memberi peluang untuk pemimpin-pemimpin negara untuk bersemuka secara berhadapan, mereka boleh bincang secara bersama dam kemukakan usul kepada AS untuk gencatan senjata di Palestin.

"Sebelum ini Malaysia mungkin hanya boleh beri kritikan melalui cara diplomatik atau hantar mesej kepada kedutaan, tapi kalau dalam persidangan APEC, pemimpin utama negara akan jumpa depan-depan.

"Jadi mereka boleh cakap depan-depan terus tanpa perlu berselindung," ujarnya kepada Majoriti.

Jelas Azizuddin, desakan itu juga akan menjadi lebih kuat sekiranya ia dilakukan secara kolektif oleh negara anggota APEC yang tidak bersetuju dengan situasi yang berlaku di Palestin.

Palestinians evacuate wounded after an Israeli airstrike in Rafah refugee camp, southern Gaza Strip, Thursday, Oct. 12, 2023. (AP Photo/Hatem Ali)

Setakat Isnin, jumlah angka kematian Palestin yang direkodkan di Gaza dan Tebing Barat kini dilaporkan mencecah 10,000. — AP

Ujarnya, ini termasuk negara kuasa besar seperti China yang dilihat tidak sehaluan dengan AS berhubung isu keganasan dilakukan Israel dalam konflik berkenaan.

"Sudah tentu China pasti akan menyatakan pandangan kerasnya berhubung isu ini. Jadi masa pertemuan ini, Malaysia mungkin boleh menyokong pihak yang menyokong penyelesaian segera dalam isu konflik Palestin.

"Dalam konteks Palestin nanti, kita mungkin boleh bersama dan sokong mana-mana pihak yang menyokong idea penyelesaian isu Palestin dengan segera.

"Jadi untuk dalam konteks Palestin, kita mungkin boleh bersama China," ujarnya.

Dalam pada itu, Azizuddin berkata, mengikut sejarah, Malaysia dilihat konsisten mengambil pendirian diplomasi secara kolektif bersama negara lain tanpa menunjukkan permusuhan terhadap kuasa besar.

Beliau turut berpandangan bahawa boikot seharusnya dijadikan sebagai tindakan terakhir sekiranya kesemua saluran diplomatik bagi menyelesaikan konflik gagal.

Pada masa sama, menurutnya, perbuatan boikot juga dilihat berpotensi memberi 'signal' yang tidak sepatutnya terhadap kepada negara lain.

"Walaupun kita tak setuju dengan AS atas faktor peperangan yang berlaku, tapi kerjasama dari segi ekonomi itu kita masih perlukan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram