Tak boikot bermakna sokong Israel? Ketahui perhitungan di akhirat kelak


  • Mukmin
  • Jumaat, 03 Nov 2023

Dr Zul menjawab persoalan tentang adakah umat Islam akan ditanya di akhirat kelak kerana membantu ekonomi Israel.

DALAM suasana kegelisahan menyaksikan tragedi di Palestin, pertanyaan di akhirat kelak dalam tindakan kita membeli produk keluaran Israel sekali gus dikatakan menyokong ekonomi negara Zionis itu yang akhirnya membunuh saudara sesama Islam, menjadi perbincangan hangat.

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, kehidupan kita di akhirat sudah tentu akan dihitung apa yang kita lakukan di muka bumi ini.

Firman ALLAH SWT:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Maksudnya: “Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.” (Surah al-Kahfi: 49)

Berhenti membeli serta menggunakan produk syarikat yang menyalurkan dana kepada rejim Zionis adalah antara usahanya membantu Palestin. Gambar hiasan

Terdapat juga hadis daripada Abu Barzah al-Aslami R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ، وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ، وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ، وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ

Maksudnya: “Dua kaki seorang hamba tidak akan bergerak (pada hari kiamat) sehingga dia ditanya tentang umurnya, ke mana dihabiskan, tentang ilmunya apakah yang telah dilakukan dengan ilmunya, tentang hartanya daripada mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan dan tentang tubuh badannya untuk apa digunakannya.”Riwayat al-Tirmizi (2417)

Berdasarkan kepada nas-nas di atas, bermakna semua amalan yang kita lakukan di dunia akan dihitung dan dihisab serta dipertanyakan di hadapan ALLAH SWT.

Berbalik kepada soalan itu, Dr Zul menjawab tidak sewajarnya untuk kita membantu mereka apabila jelas dan secara terang-terangan bantuan atau wang yang dibelanjakan itu akan dihalakan untuk menumpahkan darah umat Islam dan memerangi mereka.

Hal ini berdasarkan firman ALLAH SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah al-Ma’idah: 2)

Bagaimanapun, jika syarikat tersebut dimiliki oleh umat Islam dan pada dasarnya hubungan entiti itu amat kecil dengan induk sedangkan mereka 'bebas' daripada membantu Israel seperti syarikat induk. maka perkara itu perlulah dilihat dengan lebih mendalam, tambah Dr Zul.

Ini kerana, jika membabitkan muamalat secara global ia sudah tentu terkait sedikit sebanyak dengan penglibatan dengan orang-orang yang bukan Islam, sebagai contoh:

- Syarikat tersebut dimiliki oleh orang Islam

- Syarikat tersebut membayar zakat

- Syarikat tersebut banyak melaksanakan kebajikan atau derma amal

- Syarikat tersebut mengambil ramai pekerja-pekerja Muslim yang mereka menjadikan kerja mereka sebagai pendapatan untuk menanggung kaum keluarga mereka

- Syarikat tersebut memberi peluang perniagaan kepada franchiser untuk membina perniagaan dan kehidupan mereka di samping meluaskan lagi jaringan pekerjaan kepada kebanyakan umat Islam

- Syarikat tersebut banyak mengambil sumber daripada orang-orang Islam seperti bekalan ayam, telur dan lain-lain

Maktabah al-Bakri merupakan portal yang mana Dr Zulkifli menjawab segala persoalan yang ditanya oleh warga maya.

Dr Zul juga menasihati kepada syarikat yang dikatakan terbabit dengan bantuan kepada Israel untuk menjelaskan polisi sebenar yang mereka tiada kena-mengena secara langsung dengan hal tersebut.

Langkah yang dibuat oleh McDonalds Malaysia adalah baik di mana mereka menerangkan polisi yang dilaksanakan di Malaysia, namun Dr Zul mengesyorkan bahawa restoran terkemuka itu perlulah membayar zakat kepada setiap negeri mengikut jumlah keuntungan yang mereka peroleh di setiap negeri masing-masing agar zakat tersebut diumumkan kepada semua negeri di Malaysia.

Begitu juga, bantuan-bantuan yang diberikan kepada masyarakat di Malaysia perlu diuar-uarkan.

Beliau percaya selagi peniaga itu adalah seorang muslim, sudah tentu peniaga tersebut memahami hak saudara sesama Islamnya yang lain akan berlepas diri daripada tindakan rejim Zionis Israel yang menjarah di bumi Palestin.

Mengakhiri persoalan itu, Dr Zul mengucapkan takziah kepada sahabat-sahabat di Palestin terutamanya di Gaza dengan kehilangan banyak nyawa, kecederaan, kemusnahan tempat tinggal dan harta benda yang sedang dilakukan oleh rejim Zionis Israel.

Semoga ALLAH SWT tabahkan hati mereka dan mempermudahkan perjuangan mereka di sana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram