SERANGAN tanpa henti dilakukan oleh rejim Zionis terhadap warga Palestin semakin ditingkatkan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan angka kematian.
Penduduk yang tidak bersalah termasuk kanak-kanak serta pengamal media turut tidak terlepas daripada menerima ancaman bom ketika ini.
Serangan bom yang bertalu-talu dilakukan oleh rejim Zionis sejak 7 Oktober sehingga kini.
Pada Jumaat, media antarabangsa melaporkan seorang lagi wartawan penyiaran televisyen Palestin, Mohammad Abu Hattab yang terkorban bersama keluarganya ketika serangan udara dilakukan oleh Israel.
Namun, perkara yang meruntun jiwa masyarakat antarabangsa apabila berita itu dilaporkan oleh rakan seperjuangannya, Salman Al-Bashir yang tidak dapat menahan air mata ketika melaporkan berita tersebut secara siaran langsung.
Menerusi video tular di media sosial sejak Jumaat itu, Salman dilihat begitu emosi dan sebak ketika membuat laporan di sebuah hospital.
"Kami tidak boleh menerima ini lagi, kami 'penat'. Kami menjadi mangsa. Perbezaan antara kami adalah waktu kematian.
"Satu demi satu terkorban dan tiada yang peduli mengenai kematian atau jenayah yang terpaksa dihadapi penduduk di Gaza," lapornya.
Dalam video tersebut, Salman juga dilihat membuka jaket dan topi keledar yang sedang dipakainya itu kerana sudah tidak dapat menahan rasa berang dan sedihnya terhadap kekejaman yang dilakukan terhadap penduduk Gaza.
"Jaket dan topi keledar ini tidak melindungi mana-mana wartawan, ia hanya slogan kosong. Kami adalah mangsa, menunggu masa untuk dibunuh. Mohammad berada di sini setengah jam lalu ketika membuat liputan.
"Kini, dia meninggal dunia bersama keluarganya di hospital yang sama," katanya lagi.
Kanak-kanak yang tidak bersalah turut menjadi mangsa korban kekejaman Israel.
Jawatankuasa pemantau media untuk melindungi wartawan melaporkan bahawa ia merupakan tempoh paling dahsyat bagi wartawan dalam beberapa dekad dengan sekurang-kurangnya 33 wartawan terbunuh sejak 7 Oktober, termasuk 28 rakyat Palestin, empat warga Israel dan seorang warga Lubnan.
Bukan itu sahaja, sekurang-kurangnya 40 pejabat media dikatakan menjadi sasaran serangan manakala tiga rumah wartawan dilaporkan musnah akibat serangan itu.
Pada masa sama, lebih daripada 3,600 kanak-kanak Palestin terkorban dan lebih separuh daripada penduduk Gaza telah dipindahkan dari rumah mereka tanpa akses kepada sumber asas seperti makanan, air dan bahan api. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram