Tidak ada ahli akademik yang bekerja semata-mata nak menang anugerah — Dr Adeeba, Tokoh Akademik Negara


  • Massa
  • Isnin, 06 Nov 2023

Dr Adeeba membawa pulang hadiah wang tunai RM200,000 beserta trofi dan sijil.

PAKAR Penyakit Berjangkit Negara, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara 2023.

Penyampaian anugerah utama itu disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur pada 31 Oktober lalu.

Untuk makluman, selain bergelar pakar perubatan, Dr Adeeba juga merupakan pelopor program pengawalan penyakit berjangkit di Malaysia.

Dr Adeeba ketika ditemui berkata, penganugerahan itu sebenarnya datang daripada sokongan semua pihak yang berada di sekelilingnya.

Menurutnya, ia termasuk juga dokongan daripada para pekerja sokongan kerana tanpa mereka, ahli akademik tidak dapat menjalankan tugas dengan baik untuk menghasilkan graduan yang cemerlang.

"Saya berharap rakan-rakan di Universiti Malaya dan juga di universiti lain terus menjalankan tugas serta amanah untuk berbakti kepada bangsa dan negara terutamanya ketika ini kita mengalami pelbagai cabaran di peringkat negara dan antarabangsa.

"Jadi, graduan yang kita hasilkan mestilah bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran ini.

"Saya rasa amat bertuah sebab saya bukan sahaja dapat berbakti dari segi akademik tetapi juga memberi rawatan kepada pesakit," katanya kepada media selepas majlis penyampaian Anugerah Akademik Negara ke-15 (AAN15).

Ibu kepada dua cahaya mata itu turut berharap agar anugerah bermakna tersebut akan menjadi inspirasi kepada ahli akademik yang lain.

Apatah lagi katanya, ia merupakan antara penganugerahan yang berprestij bagi para sarjana.

"Sama juga seperti anugerah nobel, kita tidak bekerja semata-mata untuk mendapatkan penghargaan, kita hanya buat amanah dengan baik dan cemerlang.

"Saya tak rasa (mana-mana ahli akademik) bekerja semata-mata nak menang anugerah, tetapi jika kita dihargai, ia satu hal yang baik," katanya.

WhatsApp Image 2023-11-06 at 2.47.06 PM (1)

Mohamed Khaled (tengah) ketika menyempurnakan majlis penyampaian AAN15 yang bertempat di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur pada 31 Oktober lalu.

Dr Adeeba juga bertanggungjawab menubuhkan Unit Penyakit Berjangkit di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 1996 serta Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dalam AIDS (CERiA) di Universiti Malaya pada 2008.

Hasil kepimpinan dan sumbangannya, CERiA kini menjadi satu daripada pusat rujukan HIV/AIDS terkemuka di Malaysia.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau dilantik menjadi anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Lebih membanggakan, anak keempat daripada enam beradik itu juga merupakan rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Global berkaitan Polisi Dadah.

Dalam pada itu, seramai lima ahli akademik lain juga turut dinobatkan sebagai penerima AAN15 mengikut kategori masing-masing.

Bagi Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal untuk kategori Bidang Sains dimenangi oleh Profesor Madya Dr Tan Jun Jie daripada Universiti Sains Malaysia (USM); Anugerah Penerbitan Buku, Profesor Dr Shamsul Bahri Abdul Razak (Universiti Malaysia Terengganu) dan Anugerah Pengajaran Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan, Profesor Madya Dr Adibah Abdul Latif (Universiti Teknologi Malaysia-UMT).

Selain itu, Anugerah Pengajaran Kelompok Sains Gunaan diungguli oleh Dr Norliza Mohd Isa serta Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk, Ts Dr Mariani Abdul Hamid, masing-masing daripada UTM.

Penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara menerima hadiah wang tunai RM200,000 beserta trofi dan sijil, manakala penerima kategori lain pula membawa pulang wang tunai RM50,000 beserta trofi dan sijil.

WhatsApp Image 2023-11-06 at 2.49.32 PM

Dr Azlinda Azman

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Azlinda Azman memaklumkan, penyertaan bagi setiap kategori yang dipertandingkan dalam AAN menunjukkan kadar peningkatan saban tahun.

"Kita buka penyertaan kepada semua jenis Institut Pendidikan Tinggi (IPT) sama ada awam mahupun swasta, jadi sesiapa sahaja boleh bersaing.

"Ada banyak pencalonan yang kami terima, dengan Kategori Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal menunjukkan bilangan penyertaan paling tinggi," katanya.

Tambah Azlinda, pemenang bagi setiap kategori dipilih menerusi proses pemilihan yang ketat dan telus oleh jawatankuasa terdiri daripada pakar berkredibiliti.

"Terdapat juga kategori yang tiada pemenang pada tahun ini, antaranya Anugerah Akademik Harapan. Ada calon yang dinilai (bagi kategori ini), tetapi tidak ada seorang yang mencapai standard ditetapkan.

"Kita berharap ahli akademik ini menyumbang semula kepada masyarakat selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandangkan mereka mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram