KANSER payudara kekal sebagai penyakit yang paling ditakuti golongan wanita di seluruh dunia dan pelbagai perbincangan tentang bagaimana kesannya boleh berubah-ubah apabila seseorang wanita itu memasuki fasa menopaus dalam hidupnya.
Di Malaysia, kanser payudara menduduki kedudukan tertinggi sebagai kanser utama dalam kalangan wanita.
Statistik juga menunjukkan bahawa 1 daripada 19 wanita Malaysia menghadapi risiko untuk mendapat kanser payudara dan mengakibatkan kira-kira 3,500 nyawa terkorban setiap tahun.
Daripada statistic itu juga, terdapat keperluan kritikal untuk mewujudkan lebih banyak kesedaran dan pemahaman menyeluruh tentang faktor risiko yang boleh menyumbang kepada kanser payudara.
Pakar Perunding dan Pakar Bedah Payudara, Endokrin Pembedahan Am, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Suziah Mokhtar dan Pakar Perunding Onkologi, Dr Hafizah Zaharah Ahmad berkongsi pandangan mereka tentang apa sebenarnya kaitan di antara kanser payudara dan menopaus serta bagaimana para wanita boleh menangani masalah ini.
Perubahan hormon ketika menopaus
Adalah penting untuk faham bahawa menopaus itu sendiri secara semula jadi tidak meningkatkan risiko untuk mendapat kanser payudara.
Sebaliknya, risiko kanser payudara meningkat seiring dengan peningkatan usia dan fasa yang berbeza dalam kehidupan seseorang wanita membawa kepada perubahan hormon yang berbeza.
Pakar Perunding Onkologi, Dr Hafizah Zaharah
Pakar Perunding Onkologi, Dr Hafizah Zaharah Ahmad berkata, perubahan ini memainkan peranan penting dalam risiko kanser payudara terutamanya disebabkan oleh pengaruh hormon seperti estrogen dan progesteron pada tisu payudara.
“Kehamilan dan penyusuan susu ibu dapat mengurangkan pendedahan wanita kepada estrogen secara sementara dan mungkin memberi perlindungan terhadap kanser payudara.
Namun begitu, risiko ini mungkin meningkat selepas bersalin jika kehamilan pertama berlaku ketika wanita itu lebih berusia,” kata Dr Hafizah.
Masalah berat badan, obesiti
Lemak boleh menukarkan sesetengah bahan dalam darah kepada hormon wanita dan seterusnya mendorong pertumbuhan kanser payudara.
Oleh itu, Dr Hafizah menyarankan kaum hawa untuk mengamalkan pemakanan sihat, aktif dan mengekalkan berat badan bagi mengurangkan risiko perkembangan kanser.
Tambah Dr Hafizah lagi, apabila berat badan bertambah, lebih banyak insulin perlu dirembeskan untuk mengelak kenaikan paras gula berlebihan.
“Selain mengawal paras gula, insulin juga meningkatkan pengeluaran sel dan mengurangkan kematian sel. Ini bermakna, terdapat lebih banyak peluang untuk sesuatu tidak kena berlaku dalam badan dan menyebabkan kanser,” katanya.
Kanser payudara menyerang wanita tanpa mengira usia
Merungkai persepsi yang tidak benar
Walaupun risiko penyakit ini lebih tinggi bagi wanita yang belum menopaus tetapi tidak bermakna wanita menopaus benar-benar kebal.
Hakikatnya, kanser payudara boleh dan memang berlaku semasa serta selepas menopaus.
Satu lagi tanggapan salah yang wujud ialah ujian mamogram tidak diperlukan oleh wanita menopaus.
Kata Dr Hafizah, mamogram kekal sebagai ujian saringan penting untuk mengesan kanser payudara bagi wanita menopaus dan pengesanan awal melaluinya boleh menyelamatkan nyawa.
“Di samping itu, ramai wanita panik apabila menemui ketulan di payudara dan menganggapnya kanser sedangkan tidak semua adalah jenis malignant (kanser).
“Malah majoriti ketulan payudara yang ditemui semasa menopaus adalah jenis benign (bukan kanser),” katanya.
Sementara itu, pakar perunding dan bedah payudara, endokrin pembedahan am SMCV, Dr. Suziah Mokhtar berkata, seorang pesakitnya yang berusia awal 70-an disahkan menghidap kanser payudara tahap awal selepas menjalani pemeriksaan mamogram dan ultrasound.
Melalui penyiasatan secara berperingkat, kanser itu disahkan hanya terdapat pada payudara sahaja.
“Oleh kerana kansernya bersaiz kecil, pembedahan pesakit ini tidak rumit dan dia telah pulih dengan baik,” tambahnya.
Pakar Perunding, Pakar Bedah Payudara dan Endokrin Pembedahan Am, Dr Suziah Mokhtar
Pengesanan awal dan rawatan
Menurut Dr Suziah, ujian mamogram dan ultrasound payudara adalah penting untuk pengesanan awal termasuk dapat mengenal pasti kanser payudara bertahun-tahun sebelum ia menjadi ketara.
Manakala diagnosis tepat pula bergantung kepada keputusan biopsi tisu payudara.
Rawatan untuk kanser payudara biasanya melibatkan gabungan pembedahan, kemoterapi, radioterapi, terapi hormon/endokrin dan terapi sasaran.
Dalam pada itu, Dr Hafizah berkata, faktor-faktor lain seperti genetik, sejarah keluarga dan faktor persekitaran turut mempengaruhi seseorang untuk mendapat kanser payudara.
Pemeriksaan kerap dan konsultasi dengan pakar perubatan boleh membantu dalam penilaian dan pengurusan risiko kanser berkenaan.
“Wanita yang dirawat di peringkat awal, kurang berkemungkinan untuk menghidap kanser semula jika mereka mengamalkan gaya hidup sihat dengan diet tinggi serat dan rendah lemak.
Amalkan pemakanan sihat untuk menjaga kesihatan optimum
Mengamalkan diet yang sihat dan tinggi serat serta rendah lemak secara tidak langsung boleh mengurangkan risiko wanita mendapat kanser payudara.
Wanita yang dirawat untuk peringkat awal kanser payudara juga kurang risikonya untuk menghidap kanser semula jika mereka mengamalkan gaya hidup sihat dengan diet tinggi serat dan rendah lemak.
Tambah mereka, dengan senaman yang mencukupi dan amalkan gaya hidup sihat, wanita itu boleh mengurangkan risikonya untuk mendapat kanser payudara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,