Sebanyak 4,994 kes buli di sekolah direkodkan, KPM sedia tambah guru kaunseling


  • Primer
  • Rabu, 01 Nov 2023

KPM bersedia untuk menambah guru kaunseling sekiranya kes buli di sekolah meningkat. — Gambar hiasan/Bernama

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia untuk menambah bilangan guru kaunseling di sekolah-sekolah sekiranya kes buli menunjukkan peningkatan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, ia sebagai tindakan serta-merta bagi menangani kes jenayah melibatkan pelajar tersebut.

“Memang KPM akan pastikan guru kaunseling akan ditambah sekiranya kes buli meningkat. Ini kerana mereka (yang terlibat dengan kes buli) perlu diberikan bimbingan sewajarnya.

msg1050426791-18245

Lim Hui Ying menjawab soalan tentang penambahan guru kaunseling di Dewan Rakyat pada Rabu.

“Aspek kaunseling ini sangat mustahak untuk kita tahu kenapa mereka (pembuli) ini terlibat dengan buli dan bimbingan kepada mereka yang menjadi mangsa juga,” katanya di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan oleh Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah, Kedah) yang memberi soalan sama ada KPM bercadang untuk menambah guru kaunseling di sekolah bagi menangani kes buli di institusi itu.

Sementara itu, Hui Ying memaklumkan setakat Januari hingga Oktober 2023, secara keseluruhan, sebanyak 4,994 kes buli di sekolah direkodkan.

Katanya, jumlah itu meningkat berbanding 3,887 kes yang dicatatkan pada 2022, manakala sebanyak 326 kes direkodkan pada 2021.

“Semua kes ini telah disiasat dan tindakan susulan juga telah diambil terutamanya melibatkan bimbingan dan kaunseling.

“Usaha untuk menangani kes buli ini bukan hanya melibatkan pihak sekolah tetapi juga memerlukan kerjasama ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti," katanya menjawab soalan tambahan dibangkitkan oleh Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau, Pulau Pinang).

Muhammad Bakhtiar membangkitkan soalan mengenai berapa kes buli melibatkan pelajar sekolah yang telah dirujuk oleh KPM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram