Polis siasat kes buli pelajar asrama penuh di Kuala Kangsar


  • 112
  • Sabtu, 04 Nov 2023

Polis membuka siasatan bagi kes buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak.

POLIS membuka kertas siasatan berhubung kejadian buli membabitkan pelajar lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, laporan kejadian itu diterima pada 24 September lalu melibatkan tiga mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Empat.

"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa dipukul empat pelajar Tingkatan Lima.

"Mangsa bagaimanapun telah dibawa mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kuala Kangsar, Perak.

"Hasil pemeriksaan 'normal physical finding' yang dijalankan doktor mengesahkan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan parah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

"Kertas siasatan telah pun dirujuk ke Bahagian D5 (Pendakwaan/Undang-Undang), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak untuk tindakan lanjut.

"Orang ramai bagaimanapun diingatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi yang tidak berasas berkaitan kejadian ini," katanya.

Terdahulu, tular di laman Instagram pada Jumaat yang memaparkan keadaan seorang pelajar sekolah dimasukkan ke hospital dipercayai dibuli senior di sebuah sekolah di Kuala Kangsar.

Perkara itu dimuat naik ahli keluarga salah seorang mangsa buli yang mendakwa keadilan yang diperoleh oleh mangsa amat mengecewakan.

Keluarga mangsa berkata, dia terpaksa berkongsi perkara tersebut ekoran bimbang keselamatan mangsa selain untuk menuntut keadilan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram