Kerajaan pertimbang bantuan tunai bulanan untuk golongan miskin — PM Anwar


  • Primer
  • Isnin, 06 Nov 2023

Bantuan tunai khas secara bulanan akan dipertimbangkan untuk melepasi paras PGK makanan bagi isi rumah yang tidak berkemampuan. — Gambar hiasan

MESYUARAT Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin bersetuju terhadap tiga cadangan bagi menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.

Anwar berkata, MTEN bersetuju supaya bantuan tunai khas secara bulanan akan dipertimbangkan untuk melepasi paras garis kemiskinan (PGK) makanan bagi isi rumah yang tidak berkemampuan menyertai aktiviti menjana pendapatan atas faktor umur dan kesihatan.

"Semua agensi dan kementerian menyemak dan mengemas kini data untuk mengesahkan jumlah penerima isi rumah miskin tegar yang telah dibantu dan menjana pendapatan melebihi PGK makanan dalam 2023.

"Semua agensi perlu mengenal pasti isi rumah yang boleh menyertai program dalam tempoh berbaki tiga bulan dan diserapkan dalam program-program yang ditawarkan mengikut kesesuaian,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat MTEN Bilangan 6 Tahun 2023, pada Isnin.

Menurut Perdana Menteri, mesyuarat juga dimaklumkan mengenai status pelaksanaan dan usaha dalam menoktahkan miskin tegar serta cabaran-cabaran yang dihadapi.

Katanya, banyak usaha dan program dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan tegar, antaranya program terkait bantuan tunai bulanan, naik taraf kediaman, pemberian modal perniagaan, latihan kemahiran dan penjanaan pendapatan.

"Usaha-usaha ini telah pun dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi dalam usaha menarik keluar rakyat dari belenggu miskin tegar,” kata beliau.

KUALA LUMPUR, 19 Sept –– Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Anwar Ibrahim ketika sesi Parlimen di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Anwar memberitahu, mesyuarat meneliti dan mendapati bahawa perbelanjaan pembangunan sebenar semakin mengecil secara relatif setiap tahun, walaupun belanjawan menunjukkan peningkatan besar dan hal ini boleh memberi kesan jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, selain itu pelaksanaan projek pembangunan yang bermasalah dan mengalami kelewatan pelaksanaan telah menyebabkan peningkatan kos dan memberi kesan negatif terhadap kesan ekonomi.

Anwar berkata, mesyuarat berkenaan turut mendapati penentuan spesifikasi dan penilaian kos projek-projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sukar dilakukan dengan berkesan, dan proses semakan kos adalah sukar tanpa satu piawai anggaran kos.

Jelas beliau, keadaan itu boleh menyebabkan pertindihan kerja yang berulang dan kenaikan kos projek ICT.

"Dalam hal ini kerajaan akan melaksanakan tindakan segera untuk menambahbaik proses-proses dalam pelaksanaan projek belanja pembangunan (DE).

"Ini termasuk pembentukan pasukan rentas kementerian iaitu Kementerian Ekonomi (KE), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Kewangan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan jabatan-jabatan terlibat bagi menyemak dan menyediakan kerangka penambahbaikan untuk diluluskan secara bersepadu oleh kerajaan," katanya.

Tambah Anwar, tindakan lain ialah keputusan dasar ke arah desentralisasi dan pemberdayaan pelaksanaan projek dan kawalan peruntukan kepada agensi pelaksana yang diimbangi dengan tadbir urus yang ketat.

"Selain itu, keputusan dasar ke arah pemusatan pelaksanaan projek ICT dan penentuan spesifikasi/kos di MAMPU untuk mengawal kos ICT dan sebagai persediaan ke arah GovTech," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram