Beri 'gaji bulanan' RM2,208 kepada miskin tegar selama setahun lebih baik dari STR, kata pakar ekonomi


  • Massa
  • Selasa, 24 Okt 2023

Bantuan pendapatan bulanan kepada miskin tegar yang dicadangkan itu bertujuan bagi membantu kumpulan tersebut menangani kemungkinan peningkatan kos sara hidup susulan pelaksanaan subsidi bersasar. — Gambar hiasan

PAKAR ekonomi menyarankan kerajaan supaya memperkenalkan bantuan pendapatan bulanan kepada miskin tegar di dalam negara bagi membantu kumpulan tersebut menangani kemungkinan peningkatan kos sara hidup susulan pelaksanaan subsidi bersasar.

Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma berkata, langkah itu dilihat antara kaedah terbaik untuk membantu golongan berkenaan sekiranya kerajaan mahu beralih daripada sistem bantuan subsidi kepada bantuan tunai.

Pada 17 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mempertimbang mempertimbang cadangan pemberian subsidi menerusi pemindahan tunai bagi memastikan hanya golongan sasar menikmati manfaat berkenaan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, cadangan itu diperhalusi bagi mengelak ketirisan wang bantuan diperuntukkan kerajaan bagi membantu golongan rakyat yang benar-benar memerlukan.

Madeline berkata, berbeza dengan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang pemberiannya dilaksanakan secara berfasa ketika ini, bantuan pendapatan bulanan dicadangkan itu perlu dijalankan selama setahun.

Ujarnya, dalam tempoh tersebut, kumpulan isi rumah miskin tegar terlibat akan diberikan bantuan pendapatan asas setiap bulan bagi membantu mereka bukan sahaja menangani peningkatan kos sara hidup tetapi juga keluar daripada jurang kemiskinan.

"saya lebih cenderung beri bantuan konsisten setiap bulan selama satu tahun. Bukan bagi setahun tiga kali macam STR.

"Bila buat macam ini, mereka boleh buat perancangan untuk kewangan mereka macam contohnya belanja bulanan, simpan duit dalam bank, buka bisnes dan sebagainya," katanya kepada Majoriti.

Academy of Sciences Malaysia fellow Datuk Dr Madeline Bermasays food security is a key issue in view of rising prices. — DATUK DR MADELINE BERMA

Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma.

Mengulas mengenai jumlah perlu diberikan bagi bantuan tersebut, beliau cenderung supaya Kerajaan menjadikan nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (GPK) RM2,208 sebagai asas kepada pemberian tersebut.

Dalam pada itu, meskipun mengakui bahawa terdapat kerisauan berlakunya salah guna dalam penggunaan bantuan diberikan itu, Madeline berkata, langkah menghadkan tempoh pelaksanaannya itu dilihat secara langsung membendung perkara tersebut.

Malah jelasnya, kaedah pemberian pendapatan bulanan yang diberikan itu dilihat lebih baik berbanding STR yang ketika ini langsung tidak menyediakan sebarang rancangan keluar atau 'exit plan' buat penerimanya.

"Macam sekarang, STR diberikan secara berterusan. Kalau dia dah jadi penerima, selagi pendapatan dia penuhi kriteria ditetapkan. Jadi sekarang ini ramai isi rumah yang nak masuk STR.

"Tapi kalau macam bantuan pendapatan asas bulanan ini, kita bagi dia setahun, lepas itu dia memang tahu, dia akan atau terpaksa keluar," ujarnya.

Walaupun jumlah bantuan pendapatan itu dilihat lebih tinggi berbanding bantuan tunai diberikan kerajaan ketika ini, Madeline bagaimanapun menegaskan bahawa ia bakal melibatkan jumlah penerima yang lebih kecil.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib menerusi kenyataannya di Parlimen pada 19 Oktober lalu berkata, jumlah isi rumah miskin tegar setakat 30 September lalu adalah sebanyak 110,663.

Pada masa sama, Madeline berkata, pelaksanaan dasar subsidi bersasar itu sememangnya dijangka turut memberikan impak kepada perbelanjaan isi rumah berpendapatan menengah dan rendah di dalam negara.

Disebabkan itu, beliau berkata, untuk jangka masa pendek, kerajaan perlu meneruskan pemberian bantuan tunai seperti STR terhadap kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, Madeline berkata, penyaluran bantuan itu perlu dikurangkan secara berfasa pada masa akan datang bagi mengelakkan kerajaan daripada perlu terus mengeluarkan belanja besar bagi pemberian bantuan.

"Untuk kumpulan ini, penyelesaian jangka panjang untuk mereka adalah kerajaan mesti pastikan ekonomi berkembang lebih pantas supaya lebih banyak peluang pekerjaan dicipta dan pendapatan mereka juga meningkat.

"Jadi kerajaan tak perlu fikir nak beri subsidi (bantuan). Di negara maju, rakyat mereka tak bising tidak ada subsidi sebab gaji mereka tinggi.

"Tapi dekat Malaysia ini orang bising sebab harga barang tinggi, tapi gaji kita sangat rendah," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram