Beri peluang sama rata, Eco-Schools turut rai penglibatan murid berkeperluan pendidikan khas


  • Primer
  • Isnin, 06 Nov 2023

Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli menyempurnakan perasmian program Eco-Schools. — Bernama

PROGRAM Eco-Schools turut meraikan penglibatan murid berkeperluan pendidikan khas dan menawarkan skema intervensi berbeza yang disesuaikan dengan tahap kefungsian murid dan sokongan yang diperlukan, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, ia sekali gus jelas menunjukkan bahawa program Eco-Schools melengkapkan ekosistem pendidikan negara selain menjamin peluang saksama kepada semua penerima manfaat yang membantu mencapai kemenjadian murid.

"Dalam usaha untuk menoktahkan keciciran dalam pendidikan, nasib dan hak murid berkeperluan pendidikan khas harus tetap dipelihara dan diperkasa kerana mereka juga layak untuk mendapatkan akses terhadap pendidikan yang berkualiti,” katanya.

Fadhlina berkata demikian menerusi ucapan Majlis Perasmian Program Eco-Schools Malaysia dan Peta Hala Tuju Usaha Sama Penghijauan Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 (UN GEP2030) di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh di Temerloh, Pahang pada Isnin.

Teks ucapan Fadhlina dibacakan Timbalannya, Lim Hui Ying.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan perasmian program berkenaan.

Turut berangkat anakanda Seri Paduka, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana selaku Penaung Diraja Program Eco-Schools Pahang.

Fadhlina berkata, program Eco-Schools juga mendedahkan elemen pembelajaran berasaskan inkuiri dan kepimpinan muda selari dengan hasrat falsafah pendidikan negara, yang dilihat dapat menjamin ketersediaan generasi pelapis yang berwibawa dan berkebolehan.

Metodologi Eco-Schools, menurut beliau, menekankan elemen integrasi kurikulum yang menerapkan elemen pendidikan alam sekitar dalam sukatan pembelajaran kebangsaan, juga dapat membantu menjadikan pembelajaran sebagai aktiviti menyeronokkan dan bermakna buat murid.

Selain itu, sekolah Eco-Schools dijamin akses kepada bahan bantu belajar yang berkualiti daripada pangkalan data global Yayasan Pendidikan untuk Alam Sekitar serta jaringan dan jalinan antarabangsa daripada lebih 95 negara. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram