
SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan, Ipoh, Perak mengungguli tempat pertama dalam kempen mengumpul bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) yang dianjurkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Pencapaian itu berjaya diraih selepas sekolah tersebut mengumpul sebanyak 1,600 kg e-waste dan membawa pulang anugerah tersebut daripada wakil MBI.
Salah seorang guru, Sushil Kaur berkata, inisiatif tersebut dimulakan dalam kalangan pelajar Tingkatan Enam dan kemudiannya menarik minat daripada lebih ramai murid.
"Walaupun kami hanya meminta agar seorang pelajar membawa satu barangan, ada yang membawa lebih," katanya.
Tambah Sushil, ibu bapa turut memainkan peranan dalam kempen tersebut dengan menggalakkan penyertaan yang akhirnya membantu mengharumkan nama sekolah tersebut.
Barang yang terkumpul termasuk mesin basuh, kerusi urut dan kabel pengecas yang dijual bagi mendapatkan dana untuk membeli televisyen baharu bagi kegunaan sekolah.
SMK Raja Perempuan merupakan satu daripada 50 sekolah di Perak yang menyertai program Eco-Schools yang dianjurkan MBI.
SMK Dato Abdul Rahman Yaakub di Perak Tengah dan SMK Raja Perempuan Kelsom di Kuala Kangsar merupakan antara sekolah lain yang turut mengambil bahagian dalam kempen kitar semula itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram