CADANGAN mengenai pindaan peruntukan berhubung pemberian kewarganegaraan di bawah Perlembagaan Persekutuan akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.
Perkara tersebut dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
"Kabinet akan bermesyuarat esok (Jumaat). Hanya selepas itu saya akan boleh buat kenyataan," katanya ketika ditanyakan mengenai perkembangan perkara tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Rabu memaklumkan kementeriannya akan membentangkan pindaan perlembagaan membabitkan pemberian kewarganegaraan.
Ia termasuk melibatkan kewarganegaraan bagi anak dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita warga tempatan dengan lelaki warga asing.
Beliau berkata, pelbagai libat urus sudah dilaksanakan bagi tujuan tersebut dengan pihaknya turut mematuhi segala aturan perlu dilaksanakan untuk pindaan berkenaan termasuk membentangkannya kepada Majlis Raja-Raja.
Ujarnya, Jabatan Peguam Negara akan bertanggungjawab menyediakan draf pindaan bagi membolehkan perkara tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Dalam pada itu, Azalina berkata, buat masa ini, pihaknya masih menunggu mengenai perincian dan penjelasan lebih lanjut berhubung cadangan pindaan tersebut.
"Ini kerana sesetengah daripada kami tidak terlibat dalam perbincangan bersama Majlis Raja-Raja.
"Jadi mesti ada semacam penjelasan lanjut mengenai sudut pindaan perlembagaan yang mahu dilakukan," ujarnya.
Azalina berkata demikian ketika ditemui semasa program Sembang Santai bersama warga pendidik dari Parlimen Pengerang yang diadakan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Dalam acara yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek itu, peserta diberikan taklimat mengenai pembangunan kolej vokasional aliran minyak dan gas di Pengerang melibatkan kos bernilai RM120 juta.
Menurut Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, projek tersebut akan menyediakan peluang cukup besar untuk anak tempatan di kawasan tersebut bagi terlibat secara langsung dalam industri minyak dan gas.
"Jadi kolej vokasional ini akan mengambil alih sekolah yang ada di Parlimen Pengerang (SMK Tanjung Pengelih) hasil daripada satu kerjasama pintar (bersama Kerajaan Negeri Johor dan Petronas).
"Daripada pembentangan tadi insya-ALLAH dalam masa tiga tahun (2027) ia akan siap," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram