[VIDEO] Polis tahan lelaki ugut wanita didakwa punca Jelajah Makan Johor terbatal


  • 112
  • Ahad, 05 Nov 2023

Tangkap layar aksi sekumpulan individu bergelek ketika kumpulan muzik tempatan membuat persembahan di Karnival Jelajah Makanan Johor baru-baru ini.

PIHAK polis menahan seorang lelaki dipercayai mengugut seorang wanita yang didakwanya menjadi punca Karnival Jelajah Makanan Johor bertempat di Dataran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Simpang Renggam, Johor baru-baru ini dibatalkan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki berusia 49 tahun itu mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes narkotik.

Difahamkan, suspek yang ditahan di Jalan Buloh Kasap, Pekan Jabi, Segamat pada 1 November lalu bukan penganjur program berkenaan.

Bagaimanapun katanya, polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sama ada suspek adalah peniaga yang terjejas ataupun samseng yang diupah pihak tertentu.

"Polis menerima laporan seorang wanita diugut menerusi panggilan telefon seorang lelaki tidak dikenali.

"Lelaki tersebut menyatakan pengadu menjadi punca pembatalan karnival yang dibuat dengan memuat naik satu video yang telah menjadi tular di media sosial.

"Susulan itu, pada pukul 2.15 petang sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Segamat menahan suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, penganjuran pesta makanan itu terpaksa dibatalkan ekoran tular video memaparkan aksi sekumpulan lelaki dan wanita membuat tarian gelek ketika kumpulan muzik tempatan membuat persembahan.

Situasi itu mendatangkan kemarahan terutamanya kepada peniaga yang terpaksa menanggung rugi akibat pembatalan tersebut.

Mereka malah menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap penganjur yang bertindak membiarkan sahaja aksi kurang sopan itu mencemari karnival berkenaan sehingga ia terpaksa dibatalkan.

Karnival selama 10 hari itu sepatutnya berakhir pada 29 Oktober lalu, namun dihentikan pihak berkuasa pada 27 Oktober. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram