Roaring Reunion di Taman Tema Sunway


  • Bizz
  • Sabtu, 29 Jan 2022

KEDUA-DUA taman tema berkenaan akan dihiasi dengan tanglung dan bunga berwarna-warni, ditambah dengan pelbagai acara dan persembahan yang menakjubkan.

SUNWAY Group meraikan ketibaan Tahun Baharu Cina dengan sambutan meriah di dua taman tema terkemukanya, Sunway Lagoon dan Sunway Lost World Of Tambun dari 1 hingga 15 Februari depan.

Bertemakan 'Roaring Reunion', sambutan tersebut akan menyaksikan kedua-dua taman tema itu dihiasi dengan tanglung dan bunga berwarna-warni, ditambah dengan pelbagai acara dan persembahan yang menakjubkan.

Pengarah Eksekutif Taman Tema Sunway, Calvin Ho berkata, Roaring Reunion adalah mengenai pertemuan semula dengan ahli keluarga dan rakan-rakan, tanda percintaan yang diperbaharui dan permulaan baharu untuk tahun yang akan datang.

Tambahnya, Sunway turut bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Perak bagi menambah populasi harimau di taman temanya semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Taman Tema Sunway mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Perhilitan dalam usaha melindungi hidupan liar di negara ini.

"Semasa PKP, mereka telah membantu menjaga hidupan liar kita dan inilah masanya untuk bersatu semula dengan keluarga dan haiwan peliharaan kita.

"Sekali lagi, pihak kami mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada anda dan keluarga yang tersayang," katanya.

Kini kurang beberapa hari lagi sebelum sambutan Tahun Baharu Cina diraikan, Sunway Theme Parks memberi anda pilihan untuk memeriahkan perayaan kali ini sama ada disambut di Kuala Lumpur atau Ipoh.

DSC09229 tiger

NIKMATI peluang melihat dengan lebih dekat harimau belanag di Sunway Theme Parks.

Roarrr di Tiger Valley

Menerusi kerjasama Perhilitan Negeri Perak, Sunway Theme Parks menambah bilangan harimau belang ke Keluarga Harimau sebagai sebahagian tanggungjawab dalam memelihara spesies itu untuk memastikan populasi haiwan berkenaan dapat dikekalkan dan terus meningkat bagi tatapan generasi akan datang.

Pengunjung boleh menyaksikan keindahan harimau putih bermata biru yang jarang ditemui di Tiger Land, Sunway Lagoon.

Harimau yang dinamakan Samson itu merupakan subspesies harimau yang paling jarang ditemui di dunia.

Makan malam Tahun Baharu Cina

Tahun Baharu Cina tidak lengkap tanpa acara makan besar pada malam hari perayaan itu.

Di Sunway Theme Park, keluarga besar boleh menikmati tawaran hidangan makan malam untuk menghabiskan masa yang berharga bersama.

Dengan harga permulaan bagi pakej Lou Sang di Sunset Cruise Sunway Lagoon untuk 2 pax ialah RM488 dan ke atas, tetamu boleh memilih slot bermula dari 11.30 pagi hingga 8 malam.

Pakej termasuk tiket masuk ke Sunway Lagoon, minuman, set Lou-Sang, palet makan ikan, ‘Sunset Cruise’ dan ada juga hadiah bertuah menanti anda!

Selain itu, dengan harga serendah RM18 berserta gambar bersaiz 6R percuma, anda boleh menikmati pengalaman baharu Lou Sang bersama The Fluffy-Ones iaitu zirafah di Sunway Lost World.

Pakej Lou Sang ini anda boleh dapati di Giraffe and Friends, Hippo Kingdom dan Lost World Petting Zoo.

DSC09333

TARIAN Singa juga akan diadakan di kedua-dua taman tema Sunway.

BBQ di Beach

Di Sunway Lost World Of Tambun, anda berpeluang untuk menikmati petang

yang menyeronokkan di bawah sinaran matahari dan air kolam yang hangat di Beach.

Sambil itu, anda boleh menikmati menu BBQ dan minuman yang lazat di Beach dan merasai suasana pesta BBQ yang menyeronokkan.

Sambutan Mercun dan Bunga Api

Tidak lengkap jika tiada acara bunga api. Oleh itu Sunway Lost World Of Tambun akan menerangi malam pertama sambutan Tahun Baharu Cina dengan Sambutan Bunga Api: Mercun Merah.

Pastinya malam itu akan menjadi pemandangan yang menakjubkan dengan meninggalkan jalan raya dan tanah ditutup sepenuhnya dengan sisa-sisa kertas merah mercun, dan lapisan asap tebal berwarna merah akan menutupi langit.

Aktiviti tambahan

Selain itu, upacara tarian singa juga akan berlangsung di kedua-dua taman tema berkenaan sepanjang kempen tersebut. Ketika hari pelancaran, pengunjung berpeluang bertemu dengan God of Prosperity and the Gang yang akan mengagihkan fortune cookie, limau mandarin dan angpau sambil memperagakan pakaian Tahun Baharu Cina. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram