'Amy, Alex pernah buat hal di Merdekarya, DBKL jangan termakan umpan pasangan ini'


  • Massa
  • Isnin, 11 Jul 2022

Amy (kiri) dan pasangannya, Alex dikatakan mahu memperalatkan pentas venue-venue seni di sekitar Lembah Klang untuk mempromosikan acara seks berkumpulan mereka.

WANITA yang mencetuskan kontroversi selepas menghina agama Islam di Crackhouse Comedy Club, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pernah mencetuskan masalah di Merdekarya, Petaling Jaya pada tahun 2015.

Merdekarya dalam satu kenyataan di Facebook mendedahkan bahawa wanita dikenali sebagai Siti Amira Natasya Abdullah atau Amy dan pasangannya, Alex Chandran bukanlah pelawak tetapi hanya mahu memperalatkan pentas venue-venue seni di sekitar Lembah Klang untuk mempromosikan acara seks berkumpulan mereka.

"Ketika pasangan ini kerap berkunjung ke Merdekarya pada 2015, kami sering menerima aduan daripada pelanggan perempuan mengenai kelakuan mereka, sampai berlaku kes gaduh yang mana abang salah seorang mangsanya nak terajang si Alex tu.

"Kami bagi pilihan sama ada mereka hentikan perangai itu atau cari 'port' lepak lain dan mereka pilih untuk cari 'port' lain. Tiba-tiba, kira-kira sebulan lepas tu, mereka muncul kembali kata nak buat acara worksyop seks di Merdekarya.

"Katanya acara tersebut juga melibatkan stand-up comedy tapi kami tolak sebab kami masih berfikiran waras dan Merdekarya ni tempat live band, bukannya tempat pesta seks berkumpulan.

"Beberapa minit kemudian, staf kami maklumkan bahawa pasangan itu hilang tanpa membayar bil dan kami minta mereka mereka langsaikan hutang berjumlah RM75," katanya.

1655285

Tangkap layar video tular wanita yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan komedi baru-baru ini. — Facebook

Merdekarya memaklumkan bahawa pasangan itu memberi kenyataan bercanggah berhubung bil tertunggak tersebut.

"Alex mula-mula nafi tak bayar bil tapi lepas tu dia muat naik di Instagram yang dia sengaja tak bayar bil sebab dakwa kami ni kejam tak mahu bayar Alleycats (yang sepatutnya buat show dengan mereka).

"Yang si Amy pula kata mereka tak bayar bil sebab bartender di Merdekarya mabuk dan bagi diorang makan percuma," katanya lagi.

Untuk hari-hari berikutnya selama lima hari berturut-turut, pihak Merdekarya mendakwa menerima ugutan bunuh dan khianat mahu membakar kedai daripada Alex melalui WhatsApp dan juga di media sosialnya yang turut dikongsi Amy.

"Ramai pelanggan Merdekarya juga mendapat mesej ugutan bunuh dan amaran agar jangan mengunjungi premis ini kalau tak nak turut terbakar bersama kami.

"Alex juga membuat pelbagai tuduhan mengarut terhadap kami di media sosial dan tag pelbagai pihak berkuasa menyeru agar buat siasatan kerana kononnya kami perdaya orang Islam makan babi di bar aras bawah kami, yang namanya pun terang-terang Bar B.

"Amy pula muat naik komen kononnya dia 'termakan' babi dan tag DBKL dan Jabatan Kesihatan Johor agar menyiasat kami.

"Setelah lima hari kami dilanda ugutan bunuh, kami membuat laporan polis, dan beberapa hari kemudian, Alex ditahan polis, didakwa di makhamah, mengaku bersalah dan dibebaskan dengan denda RM100," katanya.



Rakaman tular seorang wanita didakwa menghina agama Islam di sebuah kelab di TTDI.

Merdekarya berkata, daripada apa yang pernah berlaku kepada mereka, pihaknya merasakan pasangan itu hanya mahu memperalatkan pentas seni tempatan bagi tujuan mempromosi kultus seks mereka.

"Jika venue tersebut tidak membenarkan atau mengharamkan mereka, rancangan mereka ialah untuk memperalatkan pula pihak berkuasa untuk menutup venue tersebut.

"Dalam hal ini, malangnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur termakan umpan Amy dan Alex dan menggantung lesen Crackhouse KL, sekali gus menjadi agensi yang menyempurnakan rancangan mereka," katanya.

Katanya, oleh yang demikian, pihak DBKL digesa agar segera menarik balik penggantungan lesen Crackhouse KL.

"Kalau tak mungkin lebih wajar bahagian penguatkuasaan DBKL ditukar namanya kepada Bahagian Pelaksanaan Rancangan Kultus Seks Amy dan Alex," katanya.

Amy kini direman selama tiga hari bermula pada Ahad hingga 12 Julai ini bagi membantu siasatan pihak polis, kata Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin.

Dia ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields ketika ini dan siasatan berhubung penghinaan terhadap agama Islam masih diteruskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram