[VIDEO] Berang kereta kena kompaun, lelaki main kasar tolak penguat kuasa sampai jatuh atas motor di Batu Pahat


  • 112
  • Jumaat, 03 Nov 2023

Tangkap layar video tular memaparkan lelaki berkenaan menolak penguat kuasa itu hingga terjatuh atas motosikalnya di Batu Pahat.

POLIS menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan atas dakwaan menghalang anggota penguatkuasaan yang mengeluarkan kompaun terhadapnya atas kesalahan parkir.

Kejadian yang berlaku di Jalan Flora, Taman Flora, Batu Pahat, Johor pada Rabu itu berjaya dirakam orang awam yang turut menyaksikan insiden itu, sebelum ia menjadi tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu daripada penguat kuasa Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) kira-kira pukul 3.50 petang.

"Kejadian itu berlaku pada pukul 11 pagi semasa penguat kuasa tersebut sedang mengambil tindakan kompaun atas kesalahan tidak memiliki kupon parkir semasa meletak kenderaan.

"Lelaki berusia 33 tahun itu kemudian menghalang dan menyerang penguat kuasa daripada mengeluarkan kompaun," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, lelaki itu juga bertindak kasar dengan menolak penguat kuasa berkenaan hingga menyebabkannya terjatuh di atas motosikalnya, namun pergaduhan tersebut dileraikan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Tambahnya lagi, kedua-dua individu mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Ismail menjelaskan, kes disiasat di bawah 186 dan 153 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam.

"Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan semua pihak agar mematuhi peraturan jalan raya dan tidak beremosi dalam apa juga keadaan sehingga membabitkan diri dalam kesalahan jenayah.

"Orang ramai perlu menghormati tindakan pihak penguat kuasa undang-undang dalam menjalankan tugasnya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram