[VIDEO] Bapa berhati binatang, gagal tahan emosi punca tergamak belasah, lempar anak depan rumah di Kulim


  • 112
  • Jumaat, 03 Nov 2023

Tangkap layar video tular memaparkan perbuatan seorang lelaki yang dipercayai memukul dan melempar anaknya di hadapan sebuah rumah dekat Kulim, Kedah.

POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai memukul anaknya seperti tular menerusi satu video dalam kejadian difahamkan berlaku di Kulim, Kedah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azizul Mohd Khairi berkata, pihaknya mengesan mengenai insiden tersebut pada Khamis melalui satu rakaman video disebarkan di aplikasi TikTok.

“Bertindak atas maklumat, pada pukul 2 petang Khamis, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim berjaya menahan seorang lelaki Melayu di Padang Serai untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga," katanya dalam satu kenyataan.

Menerusi video tular tersebut yang difahamkan dirakam oleh jiran mangsa, ia memaparkan tindakan seorang lelaki memukul dan melempar seorang kanak-kanak di hadapan sebuah rumah.

"Di Kulim, jiran bapa macam binatang, lempar dan pukul anak macam ni," ujar tulisan dalam hantaran video terbabit.

Dalam pada itu, Azizul meminta orang ramai agar membantu polis membanteras kegiatan jenayah dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi talian MERS 999.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan menyebarkan kenyataan boleh menganggu ketenteraman awam," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram