PROGRAM seperti Program Latihan Khidmat Negara (PKLN) harus diperkenalkan semula untuk golongan belia, namun pengisiannya perlu lebih berfokus kepada penyerlahan bakat kreativiti, tegas Dr Mohd Mursyid Arshad.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, berdasarkan kajian dilakukan oleh pasukan penyelidik universiti itu, meskipun mendapat sambutan dalam kalangan belia untuk mengadakan semula program seumpama PLKN, program berkenaan harus mendedahkan bagaimana peserta mendapat pendidikan patriotisme dalam kaedah yang lebih unik dan mudah dekat dengan mereka selepas ini.
Jelasnya, tidak dinafikan bahawa terdapat keperluan untuk mengadakan aktiviti fizikal serta membina ketahanan dan jati diri, namun dalam masa sama, pengisian program berkenaan juga perlu menjurus kepada penyerlahan bakat dan kreativiti.
“Sebaik program berkenaan tamat, mereka ada peluang untuk memasuki bidang perniagaan, misalnya mereka tahu bagaimana nak mencipta pekerjaan dan pendapatan sendiri.
“Jadi, itu adalah salah satu content dapatan yang kita perolehi, belia sememangnya menyambut baik program khidmat kebangsaan sebegini kerana ia merupakan nilai tambah kepada mereka,” katanya kepada Majoriti.
Dr Mursyid berpendapat, tidak ramai golongan berpeluang keluar melakukan aktiviti kesukarelawan dan kemasyarakatan disebabkan faktor PKP. — The Star
Katanya, Indeks Belia Malaysia 2020 yang dikeluarkan oleh Insitut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) mendapati, domain patriotisme dan identiti diri yang salah satunya berkaitan dengan patriotisme meningkat sedikit daripada 60.24 kepada 61.28 masing-masing pada tahun 2019 dan 2020.
Mohd Mursyid berkata, ini bermakna, masih banyak lagi peluang-peluang penambaikan aktiviti patriotisme yang boleh disemarakkan, dipelbagaikan dan disuburkan.
Tambahnya lagi, peningkatan konsep perpaduan juga berlaku dari tahun 2019 ke 2020, namun perpaduan berada pada tahap memuaskan berbanding patriotisme.
“Jadi, sukacita kita boleh usahakan program perpaduan dan patriotisme ini dan pada masa sama juga elemen kesukarelawan belia sebenarnya ada juga sedikit merosot berbanding tahun 2019 dan 2020.
“Ini kerana didapati bahawa mungkin disebabkan banyak faktor PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), jadi golongan belia tak ramai berpeluang untuk keluar melakukan aktiviti kesukarelawan, kemasyarakatan.
“Mereka yang terlibat itu mungkin bergerak dgn NGO(badan bukan kerajaan), bergerak dengan badan-badan tertentu, dan ada juga bergerak secara individu, jadi sedikit sebanyak mempengaruhi indeks berkenaan,” jelasnya.
Terdahulu, penangguhan PLKN diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Januari 2015 ketika membentangkan perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Langkah menangguhkan program tersebut dilaporkan menjimatkan dana kerajaan sebanyak RM400 juta.
Pada Oktober 2014 semasa membentangkan Bajet 2015, Najib mengumumkan bahawa PLKN - yang telah melatih lebih 800,000 pelajar sejak diperkenalkan pada 16 Februari 2004 - akan dikaji semula, selain memperkenalkan konsep baharu menjalinkan keperluan kemahiran dan kenegaraan.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram