Generasi muda makin manja, Syed Saddiq tidak ambil kira impak buruk mansuh PLKN


  • Massa
  • Khamis, 18 Mei 2023

PLKN memberikan peluang untuk pelajar belajar tentang cabaran fizikal dan mental serta cara untuk mengatasinya.

PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilaksanakan pada 2003 oleh Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Idea asal pelaksanaan PLKN dicadangkan oleh Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn seawal tahun 1970-an.

Cadangan PLKN dibentuk dan dilaksanakan adalah bagi memupuk semangat patriotisme, kepimpinan serta persatuan dalam kalangan belia Malaysia.

Selain itu, PLKN memberikan peluang kepada belia untuk menjalani latihan dan pengalaman praktikal dalam disiplin ketenteraan serta kepimpinan.

Namun, PLKN dimansuhkan pada 2018 oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau mendakwa PLKN merupakan sebuah program yang digunakan sebagai alat politik dan bersifat etnosentrik.

Perkara yang perlu diambil perhatian oleh Syed Saddiq adalah kepentingan PLKN untuk generasi muda masa kini.

PLKN bukan sahaja penting untuk membentuk sahsiah diri generasi muda tetapi turut menyediakan peluang kepada mereka untuk mengambil bahagian dalam aktiviti berbentuk membina keupayaan peribadi, sosial dan kepimpinan.

Selain itu, generasi muda dapat berinteraksi dengan rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang budaya, kaum dan agama.

Menerusi pendekatan sedemikian, mereka dapat membentuk nilai-nilai kebangsaan dalam aspek kebersamaan, kesetiaan dan kecintaan kepada negara.

PLKN turut memberi fokus kepada pembentukan disiplin terutamanya dalam soal aturan serta norma masyarakat selain membina sikap tanggungjawab dan semangat untuk bekerja keras dalam apa jua perkara.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

PLKN merupakan salah satu medium utama bagi pelajar yang kurang berkemampuan untuk memperoleh latihan serta kemahiran yang berguna.

Menerusi kemahiran yang dipelajari, mereka boleh mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik sebaik sahaja keluar daripada PLKN.

Namun, pemansuhan PLKN menyebabkan golongan belia kehilangan peluang berharga seperti ini terutamanya mereka yang memerlukan pengalaman kerja untuk memasuki pasaran pekerjaan.

Pada masa kini, bukan sahaja sijil akademik yang dititikberatkan oleh kebanyakan majikan di Malaysia, malahan kemahiran peribadi pemohon pekerjaan turut diambil kira.

Pemansuhan PLKN telah membataskan ruang kepada golongan belia khususnya mereka yang kurang berkemampuan untuk mempelajari kemahiran baharu, sekali gus menyebabkan kadar pengangguran dalam kalangan belia meningkat.

PLKN memberikan peluang untuk pelajar belajar tentang cabaran fizikal dan mental serta cara untuk mengatasinya.

Maka, pemansuhan PLKN berkemungkinan mengurangkan peluang untuk pelajar mengembangkan kekuatan fizikal dan mental yang diperlukan dalam kehidupan mereka.

Sebagai contoh, baru-baru ini, seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dikritik kerana memuat naik videonya menangis gara-gara kafe di kolejnya tutup selama seminggu kerana musim perayaan.

Ramai mengecam tindakan pelajar itu dan mengatakan generasi muda masa kini kian manja dan tidak mampu berdikari.

Susulan itu, ada beberapa pihak mengatakan pentingnya PLKN diwujudkan semula agar generasi muda pada masa hadapan lebih mahir dalam menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan seharian.

Tuntasnya, pemansuhan PLKN memberikan banyak impak buruk kepada generasi muda masa kini di Malaysia.

Pemansuhan ini menyebabkan kekurangan program pembangunan diri yang holistik dan menyeluruh, serta kurangnya latihan kemahiran dan disiplin yang penting dalam memasuki pasaran pekerjaan.

Selain itu, tindakan Syed Saddiq yang memansuhkan PLKN juga mengurangkan peluang untuk generasi muda memperoleh pengalaman dan kemahiran yang berguna dalam kehidupan seharian.

Kadar pengangguran dalam kalangan belia di Malaysia turut meningkat sehingga kini setelah PLKN dimansuhkan, menunjukkan keperluan untuk program pembangunan diri yang lebih efektif dan holistik bagi generasi muda. — Majoriti

Noraini Kamarulzaman, pembaca Majoriti.

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*