Setuju beri kewarganegaraan anak warga Malaysia lahir di luar negara, kerajaan pinda Perlembagaan


  • Primer
  • Sabtu, 18 Feb 2023

Azalina Othman Said dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengeluarkan pindaan perlembagaan terbaharu terhadap status kewarganegaraan yang lahir di luar negara.

Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan hak kepada wanita Malaysia dengan suami warga asing untuk mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Jumaat.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan kabinet kerana merealisasikan komitmen negara terhadap kesaksamaan jantina dan memenuhi hak terhadap kanak-kanak.

Cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara berkenaan adalah untuk menggantikan perkataan 'bapanya' dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan 'sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya' bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya.

Sementara itu, pindaan lain di Bahagian III akan dikaji dengan lebih terperinci oleh jawatan kuasa yang ditubuhkan di bawah KDN dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri setelah cadangan pindaan tersebut dimuktamadkan.

Perkara ini sejajar dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengiktiraf kesamarataan wanita dan lelaki menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita di Malaysia, mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan, menyelesaikan lambakan kes-kes tertunggak bagi wanita yang terkesan dengan permohonan kewarganegaraan anak mereka dan memberikan tafsiran yang jelas dan tidak munasabah serta mengelakkan tafsiran berbeza dari mahkamah.

Keputusan daripada pindaan tersebut, anak yang lahir di luar negara sebelum atau selepas Hari Malaysia yang mana sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya adalah warganegara Malaysia berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram