Jiran kenal Mun, Lan sejak 4 tahun lepas, dakwa pesara tentera bunuh isteri jarang bertengkar


  • 112
  • Sabtu, 30 Sep 2023

Polis menahan seorang lelaki yang menikam mati isterinya dengan sebilah pisau di kediaman pasangan itu di Jalan Padang Nyu, Arau, Perlis.

JIRAN kepada lelaki yang disyaki menikam mati isterinya dengan sebilah pisau di sini pada pagi Sabtu, mengakui terkejut dengan kejadian berkenaan.

Mad Radzi Ismail, 41, yang tinggal bersebelahan dengan rumah mangsa berkata, pasangan yang dikenali sebagai ‘Mun’ dan ‘Lan’ itu, dikenalinya sejak empat tahun lepas.

Dia juga memaklumkan tidak pernah mendengar pasangan itu bertengkar, sepanjang mereka berjiran.

"Saya balik daripada bekerja kira-kira 8 pagi tadi dan tidak mensyaki apa-apa, dan hanya sempat melihat suspek keluar daripada rumah dalam keadaan tergesa-gesa kira-kira 9 pagi,” kata bapa kepada dua anak itu kepada Bernama.

WhatsApp Image 2023-09-30 at 19.09.12

Wanita berumur 31 tahun yang bekerja sebagai jururawat itu dipercayai ditikam dengan sebilah pisau pada bahagian dada kiri

Mad Radzi yang bekerja di sebuah kilang di Arau, Perlis juga menzahirkan rasa simpati terhadap nasib dua anak lelaki pasangan itu, masing-masing berusia lapan dan 10 tahun.

"Saya simpati dengan anak-anak mangsa yang masih kecil. Mereka memanggil saya 'ayah' kerana kerap bermain di rumah saya,” katanya.

Polis pada Sabtu menahan seorang lelaki berusia 38 tahun yang disyaki menikam mati isterinya, 31, dengan sebilah pisau, di kediaman pasangan itu di Jalan Padang Nyu, Arau, Perlis.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, mayat wanita itu ditemukan di bilik tidur kediaman berkenaan dalam keadaan berlumuran darah dan ditutupi dengan selimut tebal, selepas suspek tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis pada kira-kira pukul 10 pagi.

WhatsApp Image 2023-09-30 at 19.09.13

Mayat wanita itu ditemui di bilik tidur kediaman berkenaan dalam keadaan berlumuran darah dan ditutupi dengan selimut tebal.

Jelasnya, wanita berumur 31 tahun yang bekerja sebagai jururawat itu dipercayai ditikam dengan sebilah pisau pada bahagian dada kiri dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi, dengan tikaman sedalam dua sentimeter dikesan pada dirinya.

"Suspek yang merupakan seorang pesara tentera berumur 38 tahun dipercayai bergaduh dengan isterinya akibat cemburu," ujarnya.

Ahmad Mohsin berkata, polis turut menemukan sebilah pisau yang disimpan dalam sebuah beg di dapur rumah itu yang dipercayai digunakan dalam kejadian, dan siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya, mayat wanita itu dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah Hospital, Alor Setar, Kedah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram